Daus memandang kedua-dua gadis di hadapannya.Baik Nad mahupun Adira duduk termonyok seperti hendak dijatuhkan hukuman gantung layaknya.Daus memandang Adira atas dan bawah.Dia mencuit lengan gadis itu.
“Tisu,”Dia menghulurkan Kleenex kepada Adira.Adira mengambilnya dengan air mata yang masih bergenang di kelopak mata.Daus menarik nafasnya.(Alah,kesiannya..)
“Jangan risau,kami tak akan ambil apa-apa tindakan kepada kamu berdua.Tapi lain kali jangan buat lagi benda macam ni.Tumpukan pada pelajaran.Nak kata kamu dua orang ni dari keluarga susah,tak juga.Faham?”
“Fa..fa..ham..”Tergagap-gagap Nad dan Adira menjawab soalan Daus.
“Sam,kau tunggu budak-budak ni sampai abang budak comel ni datang,saya masuk hall balik,”Daus berlalu sambil menggeleng-gelengkan kepala.Dia masih sempat menjeling ke arah Adira.Nafasnya dihela.Ada debaran yang timbul dalam setiap degup jantungnya.
Lelaki yang dipanggil Sam itu menemani mereka berdua sambil membaca suratkhabar The Star.
Sudah satu jam setengah mereka menanti di lobi hotel.Adira dan Nad langsung tidak berbual sesama mereka.Takut.Yang paling kecut tentulah Adira.Terbayang-bayang wajah Shahir yang akan mencepuk kepalanya.Dia cuba berlagak dewasa sebaik mungkin di hadapan abang,tapi sudah tentu tindakannya ini akan dianggap abangnya sebagai tindakan budak remaja yang tak cukup matang.Ada otak tak ada akal.
Bunyi tapak kaki yang amat dikenali Adira membuatkan jantungnya semakin berdebar-debar.Di dongak kepalanya.Shahir memandangnya dengan wajah yang serius dan kemerah-merahan.Adira hanya mampu mengeluh kesal.Habislah.
*****
“Abang tak sangka Dira boleh buat benda macam ni,”
Shahir bersuara tegas sambil memandu pulang ke Rawang.Motosikal Nad diletak di bahagian belakang Storm berwarna hitam itu.Adira duduk di tengah-tengah sambil diapit Shahir dan Nad.Dia memang kesal dengan tindakan Adira.Sudahlah dia belum hafal lagi jalan ke Kuala Lumpur.Jenuh dia bertanya orang di tepi jalan bagai rusa sesat di kampung.
“Saya yang ajak dia,Abang Shahir,”Nad bersuara perlahan.
“Kau diam!Karang aku tinggal kau tepi jalan,”
“Tak nak..”Terkemut-kemut Nad dibuatnya.Baik diam daripada kena menapak balik Rawang.Gilos.Lagi gilos kalau terserempak pontianak.(Tak nakkkkk..)
“Abang nak marah Dira,abang marah Dira sorang lah.Yang abang marah Nad buat apa?”Adira akhirnya bersuara dengan mukanya yang tampak merajuk.
“Menjawab..kalau tahu dek daddy,abang yang kena jawab,”
“Sejak bila abang jadi abang yang bertanggungjawab?Lapan tahun lepas kenapa tidak?”Sindir Adira.Dia cuma ingin mempertahankan diri.
Shahir terdiam mendengar pertanyaan Adira.Adira menelan air liurnya.Dia tahu Shahir pasti terluka dengan pertanyaannya.Dia sudah pening mendengar bebelan Shahir dan Nad yang asyik kena marah.Tanpa perancangan,soalan itu terpacul keluar daripada mulutnya.Tidak berniat menyakiti hati abangnya.
Perlahan-pahan kereta itu berhenti di tepi jalan.Enjin dimatikan.Shahir memandang ke arah Adira.
“Kita keluar sekejap.Abang nak cakap sesuatu,”Shahir cuba bersuara lembut walaupun mukanya sudah kemerahan.
Adira mengikut abangnya keluar dari kereta.Nad hanya terdiam di dalam.Dia tidak mahu mencampuri urusan keluarga orang lain.Tangannya gatal menguatkan suara radio.Mendengar lagu ‘Toyol’ daripada Allahyarham Sudirman Haji Arshad membuatkan Nad cepat-cepat mematikan radio itu.(Dah takde lagu lain?Hoh!)
Di luar cuaca yang dingin mencengkam sehingga ke tulang hitam.Langit di atas gelap tanpa bintang dan cahaya bulan samar-samar kelihatan.Mungkin hendak hujan.
Shahir menyapu rambutnya ke belakang.Dia memandang Adira di hadapannya dengan lembut.Secara spontan,tangannya diletakkan di pipi adiknya.Adira sedikit terkejut apabila tangan abangnya mengusap lembut pipinya.
“Kenapa Dira semakin degil sekarang?”Suara Shahir persis memujuk.
Adira memejamkan matanya.Mengalir air mata jernih di pipinya.Tangan Shahir ditolak perlahan-lahan.Tanpa kawalan,dia menangis tersedu-sedan seperti anak kecil.Ya,memang dia memberontak kerana abang.Abang tinggalkannya tanpa khabar berita selama 8 tahun seolah-olah dia tidak penting buat abang.
“Dira marah abang ye?Abang dah balik,abang janji akan jaga Dira.Abang akan lindungi Dira.Jangan macam ni,ini bukan Adira yang abang kenal,”Shahir masih cuba memujuk.Di matanya terpancar keikhlasan dan kasih sayang.
“Dira benci abang..benci..benci..benci!”
Adira menangis tersedu-sedan di bahu Shahir.Shahir menyapu lembut rambut adik tirinya.Nafasnya ditarik dalam-dalam.Percayalah,abang akan kotakan janji abang kali ini.Abang akan jaga dan lindungi Dira.
Seiring dengan mega yang kelam,hujan mulai turun.Titis demi titis perlahan-lahan membasahi bumi Tuhan.
Nad memandang tingkah Adira dan abang tirinya denga seribu persoalan.Tidak berniat untuk menyibuk tetapi tertanya-tanya.Apa yang sebenarnya berlaku di antara dua saudara tiri itu?
*****
Sampai di rumah.Shahir terpaksa membohongi mummy dengan mengatakan Adira terpaksa pergi ke rumah Nad untuk menyelesaikan projek sekolah.Sudah tentu mummy berleter tapi hanya sekejap.Adira terpaksa menahan telinganya mendengar bebelan mummy.Dia pasti jika mummy tahu hal yang sebenar silap haribulan dia tidak dibenarkan keluar rumah langsung untuk sepanjang tahun.Shahir hanya tersenyum melihat Adira menerima sahaja leteran mummy.
Selepas menghadap mummy,Adira naik ke biliknya untuk mandi.Walaupun kena sembur dengan mummy,wajahnya masih manis dan ceria.Selesai mandi,dia mengenakan pijama dan memakai masker.Notebook berwarna merah jambu itu dibuka.Malam itu dia tidak mempunyai mood untuk melayan Facebook sebaliknya terus memasuki laman blognya.
Dear B-bot,
Kerja gila sudah dilakukan.Yang berlaku sudah berlaku.Lupakan.Cuma..malam ni aku happy giler sangat.Entahlah.Ada satu rasa di dalam hati ini yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.Rasanya manis,khayal dan bagaikan mimpi.Dijagai?Dilindungi?
Aku tak pernah jatuh cinta.Jadi,apakah yang aku rasa ini C.I.N.T.A?
Aku tak pasti sama ada bolehkah aku mencintainya?(Hmmm..)
Yang pasti,dia lah arjuna yang telah memanah hati ini..gilakah aku kerana mencintai dia?
B-bot..tolong aku!
Adira menghela nafasnya.Catatan blog nya kali ini memang agak terbuka.Pedulilah,tiada siapa yang tahu Awek B-bot itu dirinya.Hatta Nad sekalipun.
Abang tetap cinta pertamanya.Sejak berusia 9 tahun lagi dia sudah suka dengan abang.Bila abang kembali ke Malaysia,perasaan itu semakin berkembang seiring dengan usia remajanya.Dia tidak pernah merasai apa yang dirasakan terhadap abang dengan lelaki lain.
Adira melihat dirinya di cermin.Pelbagai aksi dilakukannya.Rasanya aku lagi cantik berbanding girlfriend abang.(Benci betul dengan minah tu!)
Badannya dihempas ke katil.Meniarap dengan kedua kakinya dinaikkan berselang-seli.Kedua tangannya meneleku wajahnya.Masalahnya,apakah abang juga mempunyai perasaan yang sama?
Hujan masih menimpa bumi.Perlahan-lahan kelopak matanya terpejam dengan soalan yang masih tiada jawapan.
*****
“Selamat pagi!”
Jeritan Adira mengejutkan Shahir yang tidur semula selepas solat Subuh.Tanpa mempedulikan abangnya yang mamai,Adira melompat-lompat riang di atas katil itu.
“Dira ni kenapa?Terlebih minum Horlicks?”Shahir menggaru-garu kepalanya.Bingung.Campur dengan matanya yang rasa masih melekat dan sukar untuk dibuka.
“Abang,bangun!”Sengaja Adira menjerit di telinga Shahir.
“Aduh,pekak abang nanti!Okay..abang bangun..”Shahir bingkas bangun sambil mencapai BlackBerry di atas meja.(Baru pukul 9 pagi..agak-agak ah!)
“Abang marah ek?”
“Tak,abang tak marah.Abang gerammmm..”Shahir menarik hidung Adira lalu mengambil tuala di sebalik pintu.“Ni bangunkan abang pagi-pagi ni mesti nak ajak pergi mana-mana..betul tak?”
“Pandai pun,jom pergi KL”
“Aik,kan semalam awak dah pergi?”
Sindir Shahir sambil tersenyum senget.
“Abang jangan mengada-ngada,”
Adira memuncungkan bibirnya.
“Okay..okay..Dira nak pergi mana?”
“Shopping ke,tengok wayang ke..”
“Tengok wayang?Cerita apa?”
“Jumbo Gajah Biru..hhihihi..”
“Ek?Abang pun kena tengok Jumbo Gajah Biru?”
“Abang pergilah mandi,bau busuk!”
Adira menolak Shahir keluar dari kamarnya terus ke bilik air.Datin Ainur hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah mereka berdua.Sudah lama tidak melihat Adira berkelakuan nakal sebegitu.Mujurlah ada Shahir yang sanggup melayan karenah adiknya.
*****
Lama Shahir tidak memandu di Kuala Lumpur.Dari Mid Valley ke Bukit Bintang sampai ke KLCC pun dia sudah pening.Adira bukannya nak membantu,mengacau lagi ada.
Teruk Adira kenakan dia hari ini.Tak cukup tangan dia membawa beg kertas.Kata Adira dia hendak membalas dendam sebab hanya dihadiahkan Barbie oleh Shahir.Sejak bila budak sekolah pandai pakai LV pun Shahir tak pasti.Yang pasti Adira cukup manja dengannya,tangan kecil yang merangkul lengannya seolah-olah tidak mahu dilepaskan.
Sebagai lelaki,egonya bertambah apabila melihat mata-mata lelaki lain memandangnya dengan rasa dengki dan cemburu.Tetapi sebagai abang,Shahir cuba melayani Adira hanya sebagai adik sebaik mungkin.
“Dira,”
Suara seorang lelaki yang memanggil Adira mengalihkan pandangan Shahir kepada tuan empunya suara.
Seorang budak lelaki sebaya adiknya sedang tersengih-sengih memandang mereka.
“Iwan,”Balas Adira sambil tersenyum.Shahir dapat merasakan Adira semakin merangkul erat lengannya.Shahir tidak pasti mengapa.Tetapi jika untuk membuat budak di hadapannya cemburu,Shahir bangga.Sahamnya lebih tinggi daripada budak lelaki 17 tahun di mata Adira.(Iwan?Eh,ni kan budak yang hantar surat tu?)
“Hai,siapa ni?Bapak kau ke?”Iwan tersenyum sinis.
“Kalau bapak aku macam ni,hensem dan muda gila la bapak aku,”
Shahir hanya tersenyum mendengar jawapan Adira.
“Saya ni..guardian angel Adira.Ada masalah?”Tanya Shahir kepada Iwan yang nampak jaki tak sudah terhadapnya.
“Tak de masalah..cool je,bang,”
“Tengok ‘Jumbo Gajah Biru’ ke?”Tanya Shahir sambil menunjukkan tiket wayang yang dipegang Iwan.
“Ye la..ada masalah besar?Err..aku pergi dulu.Bye Dira!”Telinga Iwan sudah merah dan panas mendengar soalan Shahir yang seolah-olah menganggapnya seperti kanak-kanak.(Pedulik ah aku nak tengok gajah biru ke..gajah kelabu ke..)
Adira mencubit lengan Shahir.Shahir mengaduh kecil.
“Abang ni tak baiklah,Dira pun nak tengok gajah biru,”
“Ye?Kenapa?”
“Sebab Dira minat Akim AF7,”
“Nama gajah tu ek?”Shahir masih mengusik adiknya.
“Bukanlah..dia suara untuk gajah tu,”
“Oh..tak ada muka dia kan?Suara dia aje kan?Tak payahlah tengok,”
“Abang jangan mengada..”
“Kita tengok ‘Clash Of The Titans’ lah,”
“Tak mau..nak gajah biru,”
“Abang tak suka gajah,abang suka semut,”
“Abanggggg..”
Akhirnya Shahir terpaksa juga mengalah demi adik kesayangannya.Bukankah abang berjanji untuk menjaga dan melindungi Adira?Kebahagiaan Adira adalah kebahagiaan abang juga.
*****
Nad memandang Adira yang nampak tidak sabar menanti kelas Pendidikan Islam dengan kehairanan.Keterujaan yang tak dapat dilindung lagi sejak datang ke sekolah.Malah Adira asyik membebel mengapa subjek itu diletakkan di akhir waktu.
Sebaik sahaja Ustaz Rashid melangkah masuk,salam di berikan dan semua murid diam menyepi kerana takut dengan kegarangan Ustaz Rashid.Bagaimanapun Adira dengan selamba mengangkat tangan.Terkejut juga Nad dengan reaksi sahabat baiknya itu.
“Ya,Cik Adira..kenapa?”Suara tegas Ustaz Rashid memenuhi ruang kelas.
“Maafkan saya,ustaz,Saya ada kemusykilan,”
“Baiklah.Apa kemusykilan kamu?”
“Saya bagi ustaz satu masalah.Emm..Sudin seorang duda yang mempunyai anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu..err,namanya..Budin.Timah seorang janda yang ada anak perempuan hasil perkahwinan dulu..emm,namanya Senah.Sudin dan Timah berkahwin.Soalannya boleh tak Budin dan Senah berkahwin.Itu saja.Syukran jazilan,ustaz,”
Adira duduk sambil tersengih.Nad hanya menggelengkan kepala.(Aku dah agak dah..Senah betul kawan aku nih!)
“Afwan.Okay,ustaz terjemahkan kamu ayat Al-Quran dari Surah An-Nisa,ayat ke-23. Diharamkan atas kamu mengahwini ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan ayahmu, saudara-saudara perempuan ibumu dan anak perempuan dari saudara-saudara lelakimu, anak perempuan dari saudara-saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukan kamu, saudara perempuan sesusuan, ibu-ibu isterimu,anak-anak perempuan isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu tiduri, tetapi jika kamu belum mencampurinya dan sudah kamu ceraikan maka tidak berdosa kamu mengahwininya dan diharamkan bagimu isteri anak kandungmu yakni menantu dan menghimpun dua perempuan bersaudara kecuali yang pernah terjadi di masa lalu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,”
Suasana kelas hening.Hanya bunyi kipas yang berpusing kedengaran.Bunyi cengkerik pun ada.
“Tak faham?”Ustaz Rashid menggeleng-gelengkan kepalanya. “Haram lelaki berkahwin dengan ibu kandungnya,anak kandungnya,kakak atau adik kandungnya,kakak atau adik ayah dan ibu kandungnya,anak saudara,ibu susuan,saudara susuan,ibu mertua dan anak tiri kecuali sudah bercerai dengan isteri,menantu dan memadukan kakak dan adik.Faham?”
“Maksudnya saudara tiri yang berlainan ibu dan ayah halallah untuk berkahwin?Sebab dalam ayat Al-Quran mengecualikan golongan ini?”Tanya Adira sambil tersenyum.
Ustaz Rashid menganggukkan kepalanya.
Adira menarik nafas leganya.Kalau agama pun tidak melarang,Adira pasti manusia juga tidak sepatutnya ada halangan.
“Eh,Si Senah tu kau kan?Kau suka abang tiri kau ek?”
Pertanyaan Nad menyebabkan Adira kemerah-merahan.Dia tidak menjawab pertanyaan Nad.Dahinya ditepuk.Habislah kalau makcik ni dah tahu.
0 comments:
Post a Comment