5 tahun kemudian..
Hujan yang menitis rintik-rintik bagai mengerti apa yang bersarang di hati lelaki berusia 29 tahun itu. Kali terakhir dia menjejak kaki ke Malaysia untuk mengesahkan lafaz cerai dengan talak satu di mahkamah syariah.
“Setelah mendengar penerangan pemohon dan saksi-saksi.Dengan ini mahkamah mengesahkan lafaz talak satu yang dilafazkan Saudara Ahmad Shahir Bin Maulana kepada Siti Adira binti Abdullah pada tarikh 20 September 2010 adalah sah.Beliau juga meyakinkan mahkamah bahawa beliau tidak dipengaruhi dengan perasaan marah dan melafazkannya dengan tenang dan khusus.Tempoh idah bagi Puan Siti Adira akan selesai selepas beliau melahirkan anak,”
““Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak terhadap tempoh idah mereka maka idahnya ialah tiga bulan dan demikian juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya dan ingatlah,sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.”(Surah At-Talaaq,ayat 4)”
“Bagaimanapun hakim ingin menegur pemohon kerana melafazkan talak di luar mahkamah.Seeloknya sebagaimana kalian beradab ketika bernikah,begitulah juga kalian perlu beradab ketika bercerai. Seksyen 55A memperuntukkan, seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah hendaklah dalam masa tujuh hari daripada lafaz talak itu, melaporkannya ke mahkamah."
Selepas itu,dia kembali semula ke Bangkok dan nawaitunya jelas melupakan sejarah silam.Kejamkah dia apabila tidak mempedulikan ke mana perginya Adira ketika itu?Apa yang dilakukan Adira?Malah mantan isterinya langsung tidak menghubunginya untuk soal nafkah anak.Jadi,Shahir yakin benar,itu memang bukan anaknya.
Biarlah,dia memang biasa merantau pun.Semasa remaja dia bersama arwah mama di Christchurch dan tiada masalah baginya menetap di Bangkok.Cuma selepas 5 tahun ini dia terpaksa menjejak kaki ke Malaysia semula.Tunangannya yang mahu kembali ke Malaysia.
Ya,lewat pertunangannya dengan Heliza tiga bulan yang lalu,gadis itu mengambil keputusan untuk melenyapkan semua ingatan mengenai arwah suaminya.Bagi gadis itu,Bangkok mengukir banyak kenangan mengenai Aqso.Walaupun mempunyai wajah seiras Aqso,Heliza mahu menerima dirinya sebagai Shahir dan bukannya Aqso.Baginya pula,Malaysia adalah lokasi yang tak ingin dijejakinya langsung.Tapi apalah sangat penderitaannya berbanding Heliza.Dia pasrah mengikut kehendak tunangannya.Apatah lagi perniagaan bakal bapa mertuanya berpusat di Kuala Lumpur.
Ketika kali terakhir menjejak kaki ke Malaysia,seperti lipas kudung dia cuma ingin menyelesaikan soal perceraiannya dengan Adira.Hatinya sudah benar-benar terluka dengan Adira.Manis yang diberi,hempedu yang dibalasnya.Tidak sempat dia bertemu dengan daddy dan mummy.Apa yang dia tahu mereka semua sudah tidak tinggal di Rawang.Tak tahulah ke mana.Rasanya mereka juga membencinya kerana menceraikan Adira.
“Apa yang you menungkan?”
Shahir tersenyum melihat Doktor Farish yang duduk di sebelahnya.Kedua mereka sabar menanti di balai ketibaan menunggu kepulangan Heliza dari urusan perniagaan tekstil di Medan.Ligat betul tunangannya itu,tidak sampai beberapa hari di Malaysia,gadis itu sudah ke Medan untuk memperkembangkan syarikat tekstil pula.
“Saya mengingatkan kisah lama di Malaysia,”
“Barang yang lepas jangan dikenang,”
“Entahlah..”Shahir mengurut-urut janggut nipis di dagunya.Menyandarkan tubuhnya yang letih di atas kerusi.Matanya cuba dipejamkan sebelum dia terasa bahunya disapa.
“Shahir?”
Seorang wanita berwajah ala wanita Tiong Hua menegurnya sambil tersenyum manis.Shahir cuba mengingati wajah wanita itu.Rasanya dia pernah melihat gadis itu,tapi di mana?
“You memang tak ingat I,tapi I memang ingat you..I Ema,”
Shahir mengerutkan dahinya.(Ema?)
******
Shahir menjemput Ema untuk sarapan pagi di McD.Khabarnya Ema punya cerita terkini mengenai teman lamanya,Daus.Jadi rasanya dia tidak lokek untuk meluangkan masa bersama wanita itu sebelum ketibaan Heliza dari Medan.
“I masih ingat macam mana you menarik tangan Adira masa hari pertunangan Daus,”
Ema tersenyum sambil tangannya bermain tali tas tangan Fendi berwarna merah itu.Shahir sekadar tersenyum tawar sambil menghulurkan egg muffin dan coffee kepada gadis itu.
“Jum makan,I pun tak sempat breakfast,”
“Kawan you?”
Ema memuncungkan bibirnya ke arah Doktor Farish yang masih setia menunggu di balai ketibaan.
“Oh..Doc dah makan.Jadi..hmm..you kenal I masa tu?”
“Tak.I kenal you lebih daripada itu melalui Daus dan Adira,”
“Oh,really?Mana Daus dan Adira sekarang?”
“Daus sudah berkahwin dan bahagia,”
“Hmm bagus..anak Daus lelaki ke perempuan?”
“Lelaki,”
Shahir mendengus kecil.
(Aku dah agak.Memang harapkan pagar,pagar yang makan padi.Tahniah!Korang berdua dapat anak lelaki.Bolehlah mewarisi perangai bapa yang menikam kawan dari belakang!)
“Hem,you lama menghilang ke mana?”
“I ada di Bangkok dan I sudah pun bertunang,”
“Tunang?”Ema mengecilkan matanya.
“Ya,I bertunang dengan Heliza.Baru 3 bulan.I tak tahu lah you tahu tak pasal Ija,”
“Sikit tak banyak..tahu..”
“Daripada siapa?Daus?”
Ema mengangguk sambil tersenyum.
(Kau ni semua cerita aku kau nak cerita kat orang ye Daus?Kepoh..)
“Okay,jadi you datang ni nak sambut tunang you?”
“Ye.Baru je sampai Malaysia,dia dah ada offer business tekstil dengan sorang businesswoman kat Medan,”
“Tak pe lah..masih muda.Kena aktif kan?”
“You?You tunggu siapa?”
“I tunggu kawan I yang kebetulan pulang dari Medan juga,”
“Oh ye,kebetulan kan?”
“Sangat-sangat kebetulan.”Ema tersenyum sinis.
“You sorang?”
“Tak.I dengan anak I dan kawan anak I yang dari Medan tu,”
“You pun dah kahwin?Dengan siapa?”
Sebelum sempat Ema menjawap,seorang budak lelaki berusia 4 tahun memeluknya dari belakang.Mulutnya comot dengan coklat.
“Mama,tadi ada pramugari perempuan cantik.Cantik sangat!Tapi mama cantik lagi..hehe..”
“Eei gatal ye,macam papa dah,”
Ema mencubit pipi anaknya.Shahir sekadar tersenyum.
“Damak,ini Uncle Shahir,kawan papa dulu,”Ema memperkenalkan Shahir kepada anak kecil yang mesra dipanggil Damak itu.
“Shahir,inilah Damak,anak I dengan Daus,”
Ketika itu Shahir terasa dunianya kelam seketika.(Anak dengan Daus?Habis,Adira?)
Bunyi nada telefon mengganggunya.Tertera nama Doktor Farish di dada skrin telefonnya.
“Hello Shahir,you tak nak beli bunga lavender untuk Heliza?”
“La..la..vender?Ok..ok..”Shahir tergagap-gagap sebelum meletakkan telefon bimbit itu ke dalam saku seluarnya semula.Fikirannya sedikit bercelaru.Wanita di hadapannya ini berkahwin dengan Daus?Memang agak mengejutkan.
“Oh,jadi..you..you..kahwin dengan Daus?”Shahir cuba tersenyum kepada Ema.
“Aha,I memang kahwin dengan Daus.Shahir..you..”
“Ermm,sorrylah Ema..I lupa nak beli bunga untuk fiancée I.Nanti kita jumpa lagi,”
Shahir hampir tersepak kerusi ketika bangun meninggalkan Restoran McD.
Ema cuma mengangguk-angguk sedikit terkejut dengan tindakan Shahir.Damak mendekatkan dirinya kepada mamanya sambil berbisik.
“Kenapa uncle tu macam nampak hantu je mama?”
“Damak ni tak baik tau.Mama cubit karang.Mana Yaya?”
“Yaya dengan Pak Din pergi cari bunga,”
Damak menggaru-garu hidungnya yang tidak gatal.Tak pasal-pasal dia dimarahi kerana pakcik aneh itu.
******
Shahir menarik nafasnya panjang-panjang.Langkah kakinya diatur serba tak kena ke kedai bunga.Fikirannya di awan-awanan.
(Okay,kalau Daus kahwin dengan Ema,ke mana Adira?Apakah Daus meninggalkan Adira setelah dia menceraikan isterinya?Tak guna punya Daus!)
“Memang lelaki haprak!”
Seorang lelaki yang berjalan di sebelah Shahir terkejut mendengar jeritannya.(Gila ke apa?Jerit sorang-sorang).
Shahir menonong masuk ke dalam kedai bunga sebelum matanya menangkap sekuntum bunga lavender yang tertinggal di dalam pasu.Sebaik sahaja dia menyentuh bunga itu,dalam masa yang sama sepasang tangan kecil juga memegang bunga itu.
“Opps,sorry uncle,saya yang punya!”
Seorang budak perempuan kecil memakai topi baret berwarna pink tersenyum nakal sambil menunjukkan susunan giginya yang putih dan bersih.Budak comel berkulit putih kemerah-merahan itu mengerdipkan matanya kepada Shahir.Memohon simpati dengan matanya yang bulat dan jernih.Melihat jaket Prada berwarna putih yang menyaluti tubuh kecil itu,Shahir pasti budak perempuan di hadapannya itu anak orang kaya yang manja dan mengada-ngada.
“No..no..uncle yang punya,”
“Uncle,kita dua pegang bunga ni serentak.Bunga ini saya yang punya,”
“Uncle yang punya,”
“Aduhai,uncle ni.Takkanlah nak bergaduh dengan budak kecik macam saya?”
“Bunga ni untuk tunang uncle,”
“Bunga ni untuk mama saya,”
“Tunang uncle lebih penting,”
“No..no..uncle salah,”
“Apa yang salah?”
“Uncle pernah dengar tak..syurga itu di bawah telapak kaki tunang?”
“Ya Allah,manalah ada.Yang ada..syurga itu di bawah telapak kaki..”Shahir terdiam.Dia tersenyum.(Petah betul budak ni..pagi-pagi dia dah kenakan aku..)
“Kenapa uncle tak habiskan?Uncle kalah ye,”Anak kecil itu mengenyitkan matanya.Nakal.
“Syurga itu di bawah telapak kaki ibu,”Shahir melepaskan pegangannya pada bunga lavender itu sambil terus mendukung kanak-kanak perempuan itu.
“Uncle bayarkan bunga lavender untuk mama awak okay?”
“Alhamdulillah,Tuhan sahaja merahmati uncle,”Anak kecil itu terus mengucup pipi Shahir.
Entah kenapa,satu perasaan aneh hadir menyelubungi jiwanya.Rasanya cepat saja hatinya berasa sayang dengan budak perempuan yang didukungnya itu.Ada sesuatu mengenai wajah anak itu yang mencuit hatinya.Bukan kerana comel semata-mata.Entahlah.Shahir tidak dapat menafsirkan perasaannya.
Dia membawa budak perempuan itu ke kaunter untuk membayar sekuntum bunga lavender yang direbutkan pada awalnya.
“Nama siapa?”
“Shahira.Tapi uncle panggil aje Yaya,”
“Wah,Shahira?Nama uncle,Shahir,”
“Shahira dan Shahir,uncle boleh kawan dengan saya lah!Wow!Bestnya!Uncle mesti best daripada Uncle Wan,”
“Uncle Wan?”Kehairanan.
“Uncle Wan tu boyfriend mama.Tapi..Yaya..tak tahulah..walaupun Uncle Wan tu macam okay..tapi..Yaya tak suka Uncle Wan..macam ada pagar,”Anak kecil itu menggayakan tapak tangannya seperti halangan.
Shahir menggeleng-gelengkan kepalanya.(Dahsyat budak ni,macam orang dewasa masalahnya).
“Uncle boleh turunkan Yaya.Yaya dah nak masuk 5 tahun.Yaya bukan budak kecil lagi,”
“Opps..okay..”Shahir pantas menurunkan Yaya.
“Uncle,”Yaya menarik-narik lengan baju Shahir.Persisnya seperti ingin membisik.Shahir membongkokkan badannya separa dengan anak kecil itu.
“Yaya sukalah uncle.Uncle boleh teman Yaya tunggu mama?”
Shahir sekadar tersenyum.Kepalanya digaru-garu.(Haih..macam-macam satu hari ni).
Pengumuman ketibaan penerbangan dari Medan dengan Air Asia mengejutkan kedua kenalan baru itu.Kedua mereka saling berpandangan.
“Mama Yaya dari Medan!”
“Tunang uncle pun!”
Shahir sekali lagi mendukung anak kecil itu menuju ke balai ketibaan.
*****
Berpeluh dahi Pak Din bersemuka dengan puannya.
“Maaf puan,saya pusing saja,saya dah tak nampak Yaya,”
“Pak Din ni..Ya Allah!”
Ema mengambil telefon bimbit dari beg tangannya.Wajahnya berkerut kerisauan.Anaknya pula asyik bermain pashmina yang dipakainya.
“Hello,you..aduh,Yaya dah ke mana-mana ni..ye la,ye la..I nak pergi kaunter information la ni..okay..okay...bye..”
Suaminya pun satu,masa-masa macam ini juga nak ada briefing dengan trainee.
(Manalah si Yaya ni?)
******
Doktor Farish sekadar mengerling anak kecil yang didukung Shahir.Yaya menjelirkan lidahnya kepada lelaki itu.Doktor Farish menggeleng-gelengkan kepalanya.(Nasib baik budak kecik..kalau budak besar mahunya makan pelempang..)
“Uncle..”
Yaya menggoncangkan bahu Shahir.
“Ye Yaya,kenapa?”
“Kawan uncle tu siapa?”Suaranya separuh berbisik.
“Doktor Farish.Kenapa?”Shahir juga turut berbisik.
“Oh,doktor.Patutlah..Yaya tak suka doktor,suka suntik-suntik Yaya,”
Yaya merangkul leher Shahir dengan lebih erat.
“Jangan risau..doktor ni tak suntik sebarangan,”
Yaya sekadar mengangguk.
Para penumpang dari Medan yang baru tiba mula membanjiri di balai ketibaan.Shahir tersenyum melihat wajah Heliza yang ayu dengan berjilbab hijau lembut.Doktor Farish turut melambai tangannya.Dia mencuit bahu Shahir.
“I tunggu kat kereta,”
Shahir sekadar mengangguk.
“Itu tunang uncle,cantik tak?”
“Cantik.Macam model Sunsilk.Kita tengok mama Yaya,cantik uncle..macam model Innershine,”
Shahir tersenyum melihat telatah Yaya.(Macam orang dewasa pulak dia nak kenen-kenenkan orang).
Heliza tersenyum sambil melambai-lambai padanya.Senyuman tunangnya itu dibalas semula.
“Uncle,itu mama Yaya..mama!Mama!”Yaya kelihatan riang sambil melambai-lambai kedua –dua tangannya.
Mata Shahir memandang arah yang ditunjuk anak kecil itu.
Tergamam.
Wanita memakai jilbab berwarna putih itu mungkin berbeza penampilannya berbanding 5 tahun lepas.Wajahnya kelihatan lebih matang dan tenang.Tetapi dia tetap orang yang sama.
Wanita itu juga terpaku memandang lelaki yang mendukung anak perempuannya itu.
Yaya segera turun dari dukungan Shahir sambil berlari menuju ke arah mamanya.
“Adira!”
Ema menjerit sambil menarik tangan anak lelakinya menuju ke arah wanita yang dipanggil mama oleh Yaya.
Shahir masih tergamam.Heliza yang menghampirinya pun dia tidak sedari.
Kedua Shahir dan Adira masih saling berpandangan.
Kenapa dikau hadir semula setelah sekian lamanya ku terpaksa menyembuhkan luka itu?Kini luka itu terbuka semula.Hati ini lantas dirobek dan dicincang lumat.
Apakah 5 tahun itu sudah cukup untuk menghapuskan api marah,dendam dan benci?
0 comments:
Post a Comment