THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

BIODATA SHAHIRA

BIODATA SHAHIRA

KONSERT REUNION AF8:SHAHIRA(BILA CINTA)

DTKL ARTWORK BY PUTERI NURHIDAYAH MEGAT NOH

DTKL ARTWORK BY PUTERI NURHIDAYAH MEGAT NOH

Tuesday, June 15, 2010

Dia Tidak Kecil Lagi:Bab 12

PHOTO CREDIT:ABDUL MA'MANG DAN JANNA

Suasana di rumah Tan Sri Ali agak sibuk,maklumlah hari ini merupakan hari pertunangan anak bongsunya.Memandangkan arwah isterinya sudah meninggalkan mereka sejak Daus masih kecil,semua urusan dilakukan sendiri dengan bantuan adiknya,Datin Seri Paduka Hajar.Isteri kepada salah seorang menteri kabinet dan juga ibu saudara Daus itu bertungkus lumus memastikan semua persiapan berlangsung dengan lancar.Walaupun sekadar majlis pertunangan,sebanyak 30 hantaran disiapkan termasuk tepak sirih junjung yang dihias cantik.Di dalam kamarnya,Daus tersenyum di hadapan cermin.Membetulkan baju melayu berwarna putih yang dipakainya.Sesekali membetulkan songkoknya.Haruman BOSS sudah beberapa kali disemburnya.Tangannya diletakkan ke dadanya.(Eh,ada rasa berdebar-debar!)

“Hai,awak bukan nak kahwin,bertunang aje,”

Daus tersenyum melihat Ema yang muncul di belakangnya.Sahabat baiknya itu memakai kebaya pendek berwarna putih dan kain batik singkat.Gadis itu menyapu kedutan di baju Melayunya di bahagian bahu.Kedua mereka memandang ke arah cermin.Berdiri sama tinggi dan sama cantik.

“Handsome juga kawan baik I ni ye?”

“Gila tak handsome?Nak tengok cincin?”Daus tersenyum nakal.

“Boleh jugak!”

Daus maju ke hadapan membuka laci dan mengambil sebuah kotak kecil berwarna putih.Dia membuka kotak itu dan mengambil cincin itu lantas menunjukkan kepada Ema.

“Tiffany?Cantiknya!”

“Special design tu,kalau you tengok betul-betul dalam diamond ada dua huruf bergabung,”

“Dua huruf?Let me see,”Ema merenung ke arah cincin itu.Matanya dikecilkan untuk memastikan huruf-huruf yang dimaksudkan Daus.“DD?What’s the meaning of that?Diana Danielle?”

“Huish Diana Danielle pulak.Daus dan Dira lah,”

“Daus dan Dira,romantiknya.Daus,sarungkan cincin ni untuk I,”

Ema menghulurkan jari jemarinya yang runcing.Daus menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah Ema.Dia menyarung cincin itu di jari manis sahabat baiknya.Ema tersenyum nakal sambil melihat cincin platinum bertatah berlian itu di jari manisnya.

“Padan dengan I,kira jadi hakmilik I lah ye?”

“Mana boleh,”Daus tersenyum sambil memegang lembut tangan Ema.Perlahan-lahan cincin itu ditariknya dari jari sahabat baiknya.“Kalau untuk you nanti I design khas,DE BFF 4EVER,”

“Ye la,siapalah I nak pakai cincin bakal tunang you,”Ema menjungkit bahunya sambil mengenyit matanya.

“Eleh,merajuk!”Daus mencuit pipi Ema.“Sampai mati pun you tetap menjadi kawan baik I dan soulmate I..eternally,”

“I jadi second wife pun okay,”Usik Ema sambil mengambil songkok Daus dan meletakkan di kepalanya.Dia mengundur ke belakang seolah-olah mengacah Daus supaya mengambil semula songkok itu.Daus menggaru dagunya sambil tersenyum.

“You terlalu special untuk I.I tak sanggup nak jadikan you second,third or fourth.Kalau I tak jumpa Dira,may be I propose you sebab you best friend I,”

“That means,I’m your last resort.Poyo la you Daus,”Ema menjelirkan lidahnya sambil cuba mengelak apabila Daus ingin mengambil semula songkoknya.Gadis cantik itu ketawa kecil dapat mempermainkan rakannya.

“Dira wanita pertama yang I paling cinta dan you wanita pertama yang bertakhta sebagai kawan baik I.Tiada kompromi.“Ema bak lah songkok I,”

“Okay,”Ema meletakkan songkok itu semula di atas kepala Daus.Dia tersenyum sambil membetulkan songkok itu.“I harap you akan happy dengan Dira,all the best.Nanti cepat-cepat kahwin dan ada anak banyak-banyak,”

“That’s my girl,”Daus mengangkat ibu jarinya sebagai tanda bagus.Dia pantas melihat jam tangannya.“Dah nak dekat pukul 1.Jom,cepat!”

Daus tergopoh-gapah keluar dari bilik.Sesaat kemudian dia masuk semula.

“Babe,you tolong bawa kotak cincin,okay.Love you,”

Sebaik menghabiskan kata-katanya,Daus pantas keluar semula.Ema menggelengkan kepalanya melihat gelagat Daus yang kelam kabut.Dia mengeluh perlahan.Kotak cincin itu dibukanya.Lama dia memandang cincin itu sebelum menutupnya semula.Ema membetulkan kebaya yang dipakainya sebelum mengangkat kotak cincin itu yang diletak di atas dulang hiasan.Berlari-lari anak dia turun ke bawah.

******

Tidak seperti Daus yang ceria dan ingin terlibat bersama di dalam majlis pertunangan ini,Shahir pula berlainan.Tiada kewajipan agama yang menetapkan si lelaki wajib terlibat bersama dalam urusan pertunangan,cuma keluarga.Shahir tekad untuk mengelak daripada terlibat secara langsung dengan majlis pertunangannya merangkap pertunangan adik tirinya juga.Cuma berbaju kemeja kotak berwarna biru dan berseluar jeans lusuh,dia duduk di tengah sawah sambil memetik gitar.Cuaca matahari yang terik itu langsung tidak dihiraukannya.Panorama keindahan suasana di sawah sikit tak banyak mengurangkan tekanan di dalam hatinya.

Ingatannya masih melangkau peristiwa minggu lepas.Dipegang pipinya.Tamparan Adira masih terasa di pipinya.Seolah-olah baru semalam semuanya berlaku.Peritnya bukan terasa di pipi tetapi di hatinya.Selepas kejadian itu,Adira meminta kebenaran daddy untuk ke sekolah dengan Nad.Di rumah,Adira memang tidak mahu melihatnya langsung.Seboleh-bolehnya gadis itu mengelak daripada bertemu dengannya.Adira berhak membencinya sampai bila-bila.Benar kata Adira,dia dayus dan penakut untuk mempertahankan apa yang dirasakannya.Mempertahankan gadis yang dia cintai.

“Bodohnya kau Shahir!”

Jeritannya menyebabkan burung-burung yang cuba memakan bunga padi berterbangan bertempiaran.Shahir merebahkan badannya di atas tanah.Tangannya diletakkan di atas dahinya.Tangan kirinya memeluk gitar kapok yang berwarna hitam itu.Gitar daddy itu dipegang dengan erat.Kepalanya berdenyut-denyut memikirkan masalah itu ditambah cuaca yang panas terik.

“Anak kenapa?”

Suara seorang wanita berusia separuh abad mengejutkannya.Shahir bingkas bangun sambil menyapu bajunya yang melekat dengan tanah.Wanita tua bertudung yang memakai baju kurung Kedah dengan seluar berwarna hitam itu tersenyum.Kasut bot yang dipakainya berselut dengan tanah.Walaupun bekerja di bawah panas mentari,kulitnya putih kemerah-merahan.Orangnya masih cantik walaupun sudah berusia.

“Maaf makcik,saya ganggu makcik buat kerja ke?”Shahir bertanya.Kaget.

“Taklah,makcik tengok kamu macam runsing saja.Makcik datang tengok kamu,”

“Tak ada lah makcik.Ada masalah sikit-sikit aje,”

“Panggil je mak cik,Mak Timah.Janganlah duduk di denai ni,jom kita ke pondok,”

Wanita tua itu bangun sambil tersenyum kepadanya.Tanpa membantah Shahir menuruti langkah wanita yang membahasakan dia sebagai Mak Timah.Dia mengambil sapu tangan dan mengelap peluh yang mengalir di lehernya.

“Anak ini namanya siapa?”

“Shahir,Mak Timah,”Shahir menjawab sambil mengemaskan silanya di atas pondok kecil di tengah sawah itu.

“Memang orang Tanjung Karang?”

“Tak,saya orang Rawang,”

“Jauhnya datang,kenapa?”

“Tak de apa Mak Timah..mencari ketenangan,”

“Masalah cinta?Tak berani mempertahankan cinta?”

“Eh?”

“Kamu hairan?Mak Timah dah banyak makan garam.Tengok muka kamu Mak Timah dah tahu apa yang bermain di fikiran kamu.Apa yang berlaku hari ini?”Mak Timah menuangkan air kopi daripada termos ke dalam cawan.Cawan itu dihulurkan kepada Shahir.Shahir terangguk-angguk sambil menyambut cawan itu.Ditiup kopi yang panas itu sebelum menghirup perlahan.

“Saya..saya..akan bertunang,”

“Dengan perempuan yang kamu suka?”

“Perempuan yang saya suka akan bertunang dengan orang lain,”Shahir bersuara perlahan sambil menundukkan kepala ke bawah.

“Kenapa kamu biarkan?”

“Sebab saya tak boleh hidup dengannya.Walaupun adik beradik tiri,tak mungkin kami boleh bersama.Saya tak mahu jadi munafik,saya dah berjanji dengan orang lain,”

“Sebenarnya Shahir,kamu sengaja memberi seribu alasan.Sedangkan hakikatnya,jika kamu benar-benar cinta perempuan tu,kamu takkan sanggup serahkan dia kepada orang lain atas apa alasan pun,”Mak Timah tersenyum memandang anak muda di hadapannya.

Shahir terdiam.Tali gitar itu dipetiknya perlahan.

“Walaupun baru pertama kali bertemu tapi InsyaAllah sekilas ikan di kolam,Mak Timah tahu yang mana jantan dan yang mana betina.Begitu juga sikap manusia daripada raut wajahnya.Mak Timah tengok muka kamu,Mak Timah rasa kamu budak baik.Shahir,jangan biarkan sesuatu yang paling berharga dalam hidup kamu pergi begitu sahaja kerana kamu sendiri yang mengalah dan tidak berusaha,”

Shahir tersenyum ke arah wanita berusia separuh abad itu.Senyumannya tawar bersama hatinya yang gundah.

“Mak Timah ada kerja lagi,kalau kamu nak terus duduk di sini,silalah.Tapi kalau Mak Timah di tempat kamu,Mak Timah akan menyesal seumur hidup kerana membiarkan orang yang Mak Timah sayang pergi begitu sahaja,”Mak Timah bangun sambil mengambil sabit di bawah tangga.“Assalammualaikum,”

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,”Shahir menunduk hormat kepada Mak Timah yang berlalu meninggalkannya di dalam pondok itu.

Tali gitar itu dipetik perlahan.Bunyinya sumbang dengan nota muzik yang bertaburan.

Apa yang harus aku lakukan?Membiarkan simpulan pertunangan terus dilangsungkan antara Daus dan Adira?Menghukum dirinya untuk bersama Farina?

Shahir memejamkan matanya.Mindanya berputar-putar mencari penyelesaian.Semakin lama difikirkan,semakin pening kepalanya.

******

Lima buah khemah didirikan di luar halaman rumah Datuk Maulana.Penduduk kampung ramai yang hadir mengalahkan kenduri kahwin layaknya.Maklumlah yang bertunang bukannya seorang tapi dua orang anaknya.Pasukan kompang sudah pun bersedia menunggu kehadiran keluarga Daus.

Farina yang sememangnya tidak mempunyai keluarga di Malaysia ditemani para pekerjanya di sebuah bilik.Datin Ainul tidak cukup tangan menyiapkan pelbagai persiapan untuk hantaran kedua-dua anaknya Shahir dan Adira.Itu tak termasuk,persiapan majlis kenduri.Boleh migrain dia dibuatnya.Mujurlah suami tercinta sentiasa membantu pada saat-saat genting.

Di dalam kamar yang lain,Adira yang sudah sedia dimekap sedang duduk membatu di dalam kamarnya.Jari jemarinya yang berinai merah menguis-nguis cadar baldu berwarna putih.Putih ialah tema yang ditetapkan keluarga Daus.

Pandangannya kosong ke hadapan.Jiwanya sifar tanpa sebarang rasa.Sunyi dan sepi sehinggakan dia bisa mendengar bunyi jarum jam yang berdetik di dinding.

Bunyi pintu yang dibuka mengalih pandangannya.Nad berdiri di hadapan pintu sambil memandang sayu ke arah sahabatnya.Adira membalas pandangan itu dengan pandangan yang sama.Dia cuba memaksa dirinya untuk tersenyum buat sahabatnya.Terketar-ketar.

“Dira,”Nad pantas menutup pintu lalu memeluk Adira.Tanpa paksaan,air mata berjujuran mengalir di pipi kedua-dua gadis itu.Teresak-esak.Terlalu sebak sampai kedua-duanya tidak mampu berbicara.Secara emosi,Nad seolah-olahnya berkongsi rahsia hati sahabatnya.

“Ja..jangan menangis..nanti..tak..cantik,”Nad mengesat air mata yang mengalir di pipi Adira.Suaranya tersekat-sekat menahan tangisan.

Kata-kata Nad menambah sedu-sedan Adira.Air mata itu seperti tidak mampu dihentikan.Hanya Nad yang memahami duka di hatinya.Kegembiran dikongsi bersama seiring dengan kesedihan.Tidak perlu berkata-kata kedua-duanya bisa memahami antara satu sama lain.

“Apa pun yang berlaku..kita tetap kawan baik..sampai mati kita kawan baik.Okay?”Nad mencium pipi Adira bertalu-talu.Dikesatnya air matanya sendiri.Dia bingkas bangun dan menunjukkan ibu jarinya tanda memberi semangat.“Aku tahu kau kuat!”

Adira cuma mampu mengangguk.Lidahnya tidak mampu mengucap sebarang kata.Hanya raut wajahnya terkandung sejuta kedukaan.Dia juga mengesat air matanya segera.Mujurlah maskara yang dipakainya kalis air dan tidak meleleh.Nad segera keluar dari kamar Adira.Tak sanggup rasanya dia memandang wajah pilu Adira.Bagaimana Adira mampu menghadapi semua ini?Dia pun tak tahu.Dia sendiri tidak menyangka di sebalik tubuh kecil itu,Adira mempunyai semangat yang kuat.

“Dira macam mana?”Suara Iwan menerjah ke telinga Nad sebaik sahaja dia berada di halaman.Wajah lelaki berkulit cerah itu kelihatan risau.Anum yang berdiri di sebelah Iwan juga kelihatan risau.

“Aku pun tak..tahu nak cakap apa..”Nad menutup matanya dengan tangan.Cuba menahan kesedihan yang masih lagi melanda hatinya.

“Aku kesian dengan dia.Kalau aku jadi dia,dah lama aku cabut ikut tingkap,”Anum menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kau rock,tapi hindustan.Hindustan bolehlah cabut ikut tingkap.Itupun kalau Shahir bengong tu sanggup tunggu kat luar tingkap,”Iwan menempelak Anum yang menjeling kepadanya.

“Korang boleh tak jangan buat lawak?Aku tengah emosi ni,”Nad mengesat air matanya.

“Betul apa dia bengong?Kalau aku jadi Si Shahir tu,tak ada maknanya aku nak baik hati nak bagi orang yang aku suka kat orang lain.Mengabihkan boreh jo,”Iwan melepaskan geramnya.Kelmarin barulah dia tahu kisah sebenar yang berlaku antara Adira dan abang tirinya.Itupun setelah disoalnya bertubi-tubi terhadap Nad yang kelihatan macam hilang semangat.Patutlah Si Shahir tu hampir-hampir mematahkan tengkuknya,rupanya dalam hati ada taman dengan si adik tiri.Mujurlah sekarang dia pun sudah menganggap Adira sekadar teman biasa.

Kedatangan rombongan kereta Rolls Royce sebanyak 6 buah semuanya menarik perhatian orang ramai di halaman rumah.Kompang terus dipalu sebaik sahaja rombongan meminang daripada keluarga Daus itu memijak tanah.Ketiga-tiga sahabat tadi saling memandang sesama mereka.

Farina sekadar menjenguk di luar tingkap,hati wanitanya sedikit cemburu dengan persiapan yang dilakukan oleh Daus terhadap Adira.Berlainan dengan Shahir yang mahukan semuanya serba sederhana.Sehinggakan dia merasakan menjadi pilihan kedua dalam majlis pertunangan ini.Semua orang lebih menumpukan Adira daripadanya.Namun dari sudut lain,dia bersyukur kerana setelah sekian lama mengharungi suka duka bersama Shahir,akhirnya ikatan antara mereka bakal tersimpul sebagai pasangan yang bertunang.Tapi emosinya berlainan pada hari ini.Entah mengapa seperti Shahir,dia sendiri seolahnya tidak gembira dengan soal pertunangan ini.Ya,pada mulanya memang dia beriya-iya.Kemudiannya setelah peristiwa demi peristiwa yang menggoyahkan hatinya berlaku satu demi satu.Dia mula terasa kelatnya.

Bunyi paluan kompang itu pula bagaikan panggilan ‘kematian’ buat Adira.Bukan ‘kematian’ yang menghapuskan nyawa tetapi ‘kematian’ yang mematikan jiwanya.Kosong dan tidak lagi bermakna.Dia hanya memandang jam di dinding berjalan.Menanti saat ‘jiwanya’ diragut dan akan diganti dengan 'jiwa' yang tiada maknanya.

Tan Sri Ali bersalaman sambil berpelukan dengan Datuk Maulana.Kedua bakal bisan itu tampak mesra.Datin Seri Paduka Hajar juga saling berciuman pipi ke pipi dengan Datin Ainul.Daus menarik nafasnya dalam-dalam.Kalaulah Abang Shah juga ada bersama dengannya hari ini,pasti bertambah ceria.Mujurlah ada Ema yang setia di sebelahnya sambil memegang dulang hantaran yang diisi kotak cincin.Hatinya berdebar-debar.Perasaan gembira yang tak tertahan bagaikan mahu pecah dadanya.

Datuk Maulana mempersilakan semua tetamu duduk.Wajahnya kelihatan manis dan berseri-seri.Maklumlah rakan sendiri yang bakal menjadi bakal bisan.

“Anak lelaki kami pun nak bertunang hari ini.Tapi kita mulakan yang si adik dulu.Atas permintaan abangnya,”Datuk Maulana memohon pengertian.

“Oh,anak lelaki you dengan first wife dulu kan?Yang anak I gila-gilakan sangat ni anak tiri you kan?”Tan Sri Ali ketawa terbahak-bahak.Daus hanya tersenyum dan menunduk malu.Sempat Ema mencuit pinggangnya.Daus membulatkan matanya kepada Ema yang tersenyum nakal.(Nasib baik aku tak melatah!).

“Tan Sri,I dah anggap Adira macam anak kandung I sendiri.Silakan duduk,”Datuk Maulana tersenyum manis sambil duduk bersila bersama isterinya.Semua hadirin yang datang mengemaskan sila dan simpuh.

“Assalammualaikum warah matullahi wabarakatuh,”Seorang lelaki berkulit putih dan kurus memulakan bicara setelah semua yang datang sudah bersedia.

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,”

Semua hadirin yang hadir menjawab salam.Ada yang mengangguk-angguk.Ada yang tersenyum simpul.Nad,Iwan dan Anum sekadar menjenguk melalui tingkap.Segan hendak berkumpul dengan insan-insan yang berstatus dan berdarjat tinggi.

“Segala puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW,semoga majlis pertunangan yang berlangsung pada hari ini diberi barakah dan rahmat daripada Yang Maha Esa.Saya Tengku Haidar,merangkap abang saudara Shahril Firdaus dan juga wakil keluarga Tan Sri Ali.InsyaAllah pada hari ini saya dan bonda akan cuba mempercepatkan majlis dan jutaan kemaafan kerana terlewat.Minta maaflah juga,sebab keluarga kami ni masih mengamalkan lagi adat berpantun.Dalam soal ini saya serahkan majlis ini kepada bonda saya,Datin Seri Paduka Hajar Ismail.Silakan bonda,”

Wanita yang bertudung dan memiliki seraut wajah yang tegas itu tersenyum memandang Datuk Maulana dan Datin Ainul.Datin Ainul memicit-micit kepalanya sambil cuba tersenyum.(Dah nak berpantunlah pulak..)

“Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,memandangkan anakanda saya pun dah bagi warning nak cepatkan majlis yang sudah terlewat ini,maka saya pun nak cepatkanlah adat.Pantun ini saya tujukan khas untuk Datuk Maulana dan Datin Ainul,”Datin Seri Paduka Hajar tersenyum sambil membetulkan tudungnya.

Anak cina si ibu nyonya,

Memotong padi dengan parang,

Bunga di sana harum mekarnya,

Sudahkan menjadi hakmilik orang?

“Terima kasih,cantik pantun Datin Seri.Saya pun tak pandai nak jawab pantun.Saya serahkan saja kepada isteri,”Gurau Datuk Maulana sambil disambut ketawa Tan Sri Ali dan hadirin yang hadir.

Datun Ainul menjeling manja terhadap suaminya.Nampak sangat nak lepaskan beban kepada isterinya.Dia memikirkan seketika sebelum membuka bicaranya.

Ulam pegaga tidak melingkar,

Ditepi perigi berbaja tiada,

Bunga dijaga wangi nan mekar,

Cuma dimiliki ayahanda dan bonda,

Hadirin yang hadir mengangguk-angguk sambil tersenyum mendengar jawapan Datin Ainul.

“Alhamdulillah,senang cerita anak gadis Datuk dan Datin belum berpunya kan?Saya nak sambung lagi Pesta Pantun ni,tapi kasihan pula adik saudara saya yang dah kepingin nak bertunang,”Tengku Haidar cuba mengusik Daus yang sudah berwajah pucat.Daus cuma tersenyum apabila orang ramai tersenyum sinis kepadanya.

“Bagi pihak Tan Sri Ali,jika pihak Datuk Maulana setuju,pertunangan ini akan dilangsungkan sehingga setahun.Tapi apapun tempohnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui kerana jodoh dan pertemuan ditentukan olehNya,”

“Bagi pihak kami,Alhamdulillah,kami cuma menurut saja apa yang pihak keluarga Tan Sri tentukan.Jika dah takdir,anak kami bertemu jodoh dalam usia yang muda Alhamdulillah,”

“Sebelum tepak sirih ini diserahkan,saya mewakili Allahyarhamah ibu Daus untuk menyarung cincin pertunangan ini ke jari manis anak Datuk,Adira kan?”Datin Seri Paduka Hajar pula menyampuk sambil tersenyum.

“Ya Datin Seri,Adira namanya..err panggil Adira,”

Arahan Datuk Maulana disambut dengan anggukan Datin Ainul.Daus menanti kehadiran Adira dengan hati yang berdebar-debar.Ema ke hadapan duduk bersimpuh di sebelah Datin Seri Paduka Hajar.Kedua-dua mereka saling memandang dan tersenyum.

Sepasang kaki putih turun daripada tangga dengan berhati-hati.Daus semakin terpesona melihat kecantikan Adira yang mengenakan sepasang baju kurung moden berwarna putih dan selendang di atas kepala.Bukan sahaja Daus,orang ramai yang datang turut memuji kecantikan gadis sunti itu.Adira cuma tertunduk dan membisu ketika duduk di hadapan ibu saudara Daus.Dalam keterpaksaan dia mencium tangan wanita korporat di hadapannya.Nad,Iwan dan Anum memandang situasi di hadapan mereka dengan jantung yang berdebar-debar.

Datin Seri Paduka Hajar mengambil sebentuk cincin yang dihulurkan Ema.Jurugambar-jurugambar yang datang bersedia dengan kamera masing-masing.Rakaman melalui video sahaja sudah melibatkan 5 orang jurukamera.Tangan halus Adira dipegangnya.Cincin itu bersedia untuk disarungkan bila-bila masa.Bersedia untuk disarungkan ke jari manisnya.Adira pasrah dan memejamkan matanya.

“Adira!Ikut abang!”

Hadirin yang datang tersentak melihat Shahir yang tiba-tiba datang dan menarik tangan Adira.Kedua adik-beradik tiri itu berjalan menyusuri orang ramai.Datuk Maulana terdiam kaku menyaksikan kejadian yang tak disangkanya.Datin Ainul sudah rebah ke lantai.Kelam-kabut dibuatnya.Semua tetamu yang datang berbisik sesama mereka.

“Tahan dia!”Daus bangun dengan diikuti beberapa orang pemuda di belakangnya.

“Jangan!”Farina keluar daripada biliknya dengan selendang dan jarinya yang berinai merah.Dia menahan Daus daripada meluru ke arah Shahir dan Adira.Matanya digenangi air yang jernih.Nafasnya turun naik.Kepalanya digeleng-gelengkan.

“Jangan..biarkan mereka..,”Bisik Farina perlahan.Daus menggigit bibirnya.Menahan amarah di dalam hatinya.Tangannya menggenggam buku limanya.

Ema hanya mampu tertunduk.Berlainan dengan tiga sahabat di luar rumah.Nad,Iwan dan Anum pula saling tersenyum di antara mereka.Biarpun suasana semakin kecoh,Shahir terus menarik tangan Adira yang menurutinya tanpa bantahan.Kereta Peugot itu dihidupkan.Shahir pasrah.Apa yang terjadi telah pun terjadi.Dia tidak mungkin berpaling lagi.

Dia memandang Adira yang turut memandang ke arahnya.Adira ternyata keliru dengan tindakan drastiknya.Walaupun air mata berlinangan di pipinya.Namun wajah itu tiada lagi muram dan kosong.Seraut wajah yang manis itu dipenuhi dengan rasa kasih dan sayang.Shahir tersenyum sambil mengesat air mata yang membasahi pipi adik tirinya.

“Abang berjanji,abang tak akan lukai hati Dira lagi..abang janji..”

Adira tidak mampu membalas ungkapan itu,hanya mampu menangis di atas tapak tangan Shahir sebagai alasnya.Kereta itu menderu tanpa arah.Ya,dia berjanji akan menjaga Adira.Menjaga dan melindungi gadis itu.Wajah daddy dan mummy terbayang-bayang di mindanya.Rasa berdosa menebal di sanubarinya.Ya,dia sudah mengaibkan mummy dan daddy.Dia sudah pun melakukan perbuatan ini.Membawa Adira bersamanya ke suatu destinasi yang masih samar.Sebagai lelaki dewasa,dia akan bertanggungjawab atas apa yang sudah dilakukannya.

Harapannya cuma ada sinar bahagia buatnya dan Adira.Perjalanan masih jauh dan panjang.Janji Shahir dia akan hanya mencintai Adira.Apakah esok masih sama?

0 comments:

DTKL ARTWORK BY JANNATUL HAZIRAH BOUVIER

DTKL ARTWORK BY JANNATUL HAZIRAH BOUVIER

DTKL ARTWORK BY LYA YAYA

DTKL ARTWORK BY LYA YAYA

PEMBERITAHUAN

PEMBERITAHUAN

ART WORK BY SHAHIRATICS(CREDIT TO ALL SHAHIRATICS)