Shahir masih menanti jawapan Adira.Bibirnya sudah kebiru-biruan menahan kedinginan.Jari jemarinya pula mengecut dek kelencunan ditimpa titis-titis air dari atas langit.Dia masih bersabar.Walaupun berselubung kain seperti Puspawangi dalam Musang Berjanggut.Sekali pandang bagai nak menyanyi lagu ‘Mari Kita Ke Ladang’.Demi Adira,dia peduli apa!
“Tidak..,”
Sepatah kosa kata yang keluar dari mulut Adira mematahkan hatinya.Bukan sahaja patah,remuk dan berderai.Setelah dia membuang jauh egoisnya dan merayu di hadapan wanita yang paling dicintainya itu,jawapan ‘tidak’ ternyata satu tamparan yang amat hebat.
“Ke..ke..na..pa?”
Air mata lelaki itu mengalir lagi.Tersekat-sekat menahan sendu dan sedan.
“Kenapa?”
Adira memandang Shahir.Melepaskan helah kecil dari rongga hidungnya.Berlalu masuk ke dalam pangkin dengan langkah yang longlai.Duduk lemah sambil kepalanya disandar ke tiang penjuru empat itu.Tanpa diduga,dia mula menangis.Tanpa kawalan.Terhenjut-henjut bahunya diiringi dengan esak tangis yang tiada putusnya.
Shahir kaget lantas menghampiri Adira.Ingin dia memujuk wanita itu.Mungkin memeluknya untuk memberi ketenangan.Tapi tangannya tidak kesampaian.Ada sesuatu yang menyekat tangannya.Cuma mampu menggapai udara.Dia tahu selama ini dia sering membuat lawak sengal dengan harapan Adira mahu berbicara semula dengannya.Tapi air mata wanita memanglah senjata lelaki.Dia benar-benar tewas buat entah ke berapa kalinya kerana air mata itu.
Hatinya bertambah patah.Bergemeratap bunyi patahan itu jika bisa didengar.Melihat Adira lemah longlai dalam kesedihan membuat Shahir hilang kekuatan.
“Kenapa..kenapa abang suka berjanji?”
Adira memandang wajah Shahir dengan genangan air mata yang memenuhi kelopak matanya.Hidungnya sudah kemerah-merahan.
“Ayang..,”Shahir hanya mampu menyebut nama itu.Selebihnya dia kematian ayat.Sebak.
(Tapi..kali ini abang janji..betul-betul janji!)
“Abang pernah berjanji..untuk menghantar e-mel semasa di Christchurch..tak ditunaikan!Abang berjanji tidak akan melukai hati Dira selepas kita berkahwin..abang tak tunaikan!Abang berjanji hanya ada ‘abang sayang ayang’..tapi kenapa ada Heliza?Abang..”
“Abang tahu abang salah..ayang..”
“Abang janji akan jadi Spiderman di hati Mary Jane.Walaupun bunyinya bodoh..bagi Dira,itulah satu sumpah yang paling meruntun hati Dira.Janji abang pada tiga bintang di langit?Palsu!Mudahnya abang menutur janji sama juga dengan mudahnya abang melanggar janji itu!”
“Ayang..,”
“Jangankan hendak melindungi Dira seperti Spiderman,abang tak mampu untuk mempercayai Dira pun..,”
“Ayang..abang..,”
“Enam tahun!Enam tahun Dira merindui abang.Abang tak pernah kembali untuk menjenguk Dira atau Yaya..sekarang?Abang minta Dira percaya janji abang lagi?”
Adira memandang tepat mata Shahir.Tangis itu masih berlarutan.Shahir hanya mampu memandang wajah yang kecewa dengan tindakan bodohnya itu.
Demi Tuhan dia ingin menenangkan hati Adira ketika itu.
“Dira benci tengok muka abang!”
Adira menolak Shahir yang berdiri kaku di sebelahnya.Tangannya memukul-mukul dada lelaki itu.Shahir langsung tidak membalas.Sesekali dia cuba menyapu wajah Adira,tetapi tangannya ditolak bekas isterinya.
Dalam kekalutan itu,Shahir cuba untuk memeluk Adira.Sekali lagi,dia ditolak.
“Tolonglah..jangan macam ni..abang perlu peluang dari Dira..tolong..abang minta maaf lagi sekali.Abang sayangkan isteri dan anak abang..”
“Abang!”Adira menolak Shahir kuat sehingga lelaki itu terjatuh daripada pangkin. “Dira takkan kembali pada abang.Sama sekali tidak!”
Adira bingkas bangun.Berlari masuk ke dalam rumah dengan esak tangisnya yang tiada hentinya.Meninggalkan kain jemuran dan Shahir yang terjelepok di tanah.
Nafas Shahir turun naik menahan sebak.Air mata yang makin laju mengalir di pipinya acapkali disapu dengan tangannya.Dadanya berombak menahan pilu.Akhirnya,dia tewas juga menahan kesedihannya.Buku limanya menumbuk-numbuk tanah becak yang lembik itu.Raungannya ditenggelami bunyi hujan yang kian lebat.
(Abang sayangkan Dira...sumpah..abang cuma cintakan Dira..abang minta maaf..)
Shahir rebah di dalam becak yang kian berlopak dipenuhi air.Halilintar rancak berpesta di mega mendung.Langsung tidak mengasihani perasaan lelaki ini.
*****
Heliza melihat jam di tangannya.Sudah menunjukkan pukul 9 malam.Hatinya tidak tenang apabila tidak dapat menghubungi Shahir sejak petang tadi.(Kenapalah dimatikan telefon?)
Mujurlah ada Doktor Farish yang sudi menemaninya bertemu rakan kongsinya di Saloma Bistro.Doktor Farish pun tampak aneh.Semenjak pulang ke Malaysia,sahabat lamanya itu lebih banyak mengelamun dan mendiamkan diri.Shahir pula menghilangkan diri.Semua lelaki-lelaki di dalam hidupnya itu berubah sikap sebaik sahaja menjejak kaki di Kuala Lumpur.Esok lusa apabila Datuk Noorman datang,entah apa dan bagaimana pula sikap abahnya itu.
“Doktor Farish,”
Pemuda itu tidak memberi sebarang tindak balas.Merenung ke arah dinding yang memaparkan bingkai-bingkai gambar pelakon Jalan Ampas tetapi menembus pandangan entah ke mana-mana.
“Doktor Farish!”
“Ye?”
Lelaki itu tersenyum memandangnya.
“Are you okay?”
“I?I okay je..ehmm..kenapa Eja?”(Cuba mengalih subjek perbualan)
“Saya tengok doktor asyik termenung je,ada apa-apa nak dikongsikan dengan saya?”
“Termenung?”Doktor Farish menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tertawa kecil. “Tak de lah.I okay je.You okay?”
“Ya,okay.Cuma..”
“Cuma?”
“Shahir.Saya tak dapat contact dia lagi,”
“Oh,dia kan jumpa mummy dan daddy dia.Berikan dia masa,”
“Hmm..entahlah..kalau Abang Aqso..,”
“Hei,jangan sebut nama orang yang dah tiada.Okay?”
“Entahlah..saya..”
Belum sempat Heliza menghabiskan ayatnya seorang wanita jelita menghampiri meja mereka.Heliza melebarkan senyumannya yang manis sambil bersalam dan memeluk wanita yang kelihatan anggun dengan busana indah Anna Sui itu.Heliza dan wanita itu saling berjabat tangan.
“Well,ini kenalan I,Doktor Farish.Doktor,ini rakan kongsi saya dari Bali hari itu,”
Heliza memperkenalkan Doktor Farish kepada wanita itu.Doktor Farish sekadar tersenyum.Jasadnya di situ tetapi fikirannya melayang-layang mengingatkan perkara lain.
“Hai,I Farina,”
Farina menguntum senyuman mesra.Menghela nafasnya.Menghirup udara Kuala Lumpur yang telah lama tidak dihidunya semenjak pertunangannya dengan Shahir yang tidak menjadi.Antara Christchurch dan Bali,akhirnya sirih pulang ke gagang juga!
*****
Perjalanan selama tiga jam lebih dari Beruas ke Kuala Lumpur itu senyap dan sunyi.Iwan memandu tanpa gangguan Shahir.Sesekali dia menjeling Shahir di belakang.Entah kenapa musuh ketatnya itu hanya mendiamkan diri sambil memeluk tubuh.Adira di sebelahnya juga mendiamkan diri.Yaya sudah lena diulit mimpi.
Iwan berasa cuak.Entah apa yang terjadi di antara Shahir dan Adira ketika dia pergi ke rumah Haji Asmara.Selalunya ada juga pertengkaran kecil.Ini bagaikan malaikat lalu,sesepi air di kali.
Sekembali dia daripada rumah Haji Asmara,hujan sudah mula renyai-renyai.Mulut Datuk Maulana yang becok bagaikan dikunci.Datin Ainul juga menjejak langkah suaminya,membisu seribu bahasa.Shahir dan Adira bagaikan tidak boleh memandang antara satu sama lain.Belum pun sempat punggungnya panas,Adira sudah mengajaknya pulang ke Kuala Lumpur.
Iwan memang berasa tidak sedap hati.(Something fishy is going on..).
Kereta yang dipandunya itu membelok masuk ke halaman rumah Adira.Shahir bingkas keluar daripada kereta tanpa sebarang kata.Iwan menjuih bibirnya.(Huh,terima kasih pun tak de!).
“Thank you,esok kita jumpa lagi,okay?”Adira cuba tersenyum walaupun keletihan.
“Nanti..,”
Iwan memegang tangan Adira.
“Ye?”
“You okay?”Iwan bersuara lembut.Persis memujuk.
“Ye,I okay.I letih dan Yaya pun tak bangun-bangun lagi.Yaya,bangun sayang,”Adira kelihatannya tidak berminat untuk menjawab soalan Iwan.Sebaliknya dia membuka pintu kereta belakang dan menggerakkan Yaya.
Yaya mengeliat malas apabila dikejutkan Adira.Matanya masih terpejam di saat dia membuka pintu kereta Iwan.Jalannya terhuyung-hayang sambil mengheret patung beruang hitam kesayangannya.
“Hati-hati Yaya,jatuh karang.Jumpa Uncle Wan esok,okay?”Iwan cuba mengambil hati Yaya.Secara peribadi,dia kasihan pula melihat anak kecil itu yang kelihatan letih.
“Okay,night Uncle Iwan,”Dalam keadaan mamai,Yaya menuju ke pintu rumahnya. Terduduk di hadapan pintu sambil memeluk si beruang hitam.
“You?”Iwan memandang ke arah Adira.Risau.
“I okay sangat,okay sayang?Jumpa esok.Night,”Adira tersenyum manis.Cuba meyakinkan Iwan.
“Okay,night,”
Walaupun berat hatinya untuk melepaskan Adira.Iwan akur dengan kehendak waktu.Sudah lewat malam.Tidak manis pula jika ada yang melihatnya di halaman rumah janda muda pada waktu begini.Memanglah dia ingin mengahwini Adira tapi bukanlah kahwin ‘free’.(Huhu..)
Adira melambaikan tangannya sebaik sahaja Iwan membunyikan hon keretanya sebelum pergi.Langkahnya lemah menuju ke arah pagar rumah.Belum sempat pagar itu dikunci,dia terdengar bunyi sesuatu terjatuh di sebalik kereta Peugot yang diparkir di luar halaman rumahnya.
Langkahnya dimajukan ke luar halaman.Dia terkejut melihat Shahir terbaring di tepi jalan.
“Eh,bangun!Abang,jangan buat drama kat sini!”
Kakinya disepak perlahan ke bahu Shahir.Tiada tindakbalas.Adira membongkok badannya.Tangannya menyentuh dahi Shahir.Panas.
(Ya Allah!)
*****
Mahu tak mahu dia terpaksa menghantar Yaya ke rumah jiran sebelahnya,Puan Seow.Mujurlah pengetua yang sudah pencen itu sudi menjaga Yaya sebentar sementara dia menghantar Shahir pulang ke rumah.
Sudahlah dia terpaksa memapah Shahir masuk ke dalam kereta,dia tersesat pula dua tiga kali pusingan kerana Shahir salah memberi arahan jalan ke rumahnya.Kalau tak difikirkan lelaki itu demam,mahu saja dia mencekik leher Shahir.
(Dah tahu hujan,nak merajuk dan menangis dalam hujan!Kan dah demam!Aku juga yang susah-payah kena hantar dia balik rumah!)
Adira terpaksa memapah Shahir sekali lagi menaiki lif menuju ke tingkat atas kondominium yang menjadi penginapannya di Kuala Lumpur.
“Ajak pergi klinik,tak nak.Abang ni memanglah!Menyusahkan!”
Adira menolak Shahir ke atas sofa sebaik saja memasuki ruang tamu kondominium itu.Kasut Shahir dibukanya dan dicampak di belakang pintu.Shahir yang menggeletar kerana demam tidak menjawab leteran Adira.Matanya terpejam rapat.
(Demam la minah!)
Kasihan pula Adira melihat keadaan bekas suaminya.Dia mengeluarkan sapu tangannya dari beg tangan.Sapu tangan itu dibasahkan dan diletakkan ke dahi Shahir.Tak sampai 2 minit,sapu tangan itu sudah kering.Shahir memang demam panas.Dibasahkannya lagi dan diletakkan kembali ke dahi Shahir.Kelam-kabut dia berulang-alik dari kamar ke ruang tamu mendapatkan selimut.Selimut itu digebarkan keseluruh tubuh Shahir.
“Abang tidur dulu,saya nak balik,”Adira sedikit tergopoh-gapah.Matanya meliar.Bimbang pula hatinya jika diserbu pegawai pencegah maksiat pada saat-saat genting sebegini.
“Nanti...,”
Shahir memegang tangan Adira.Matanya yang tadi terpejam,dibuka.Nampak matanya kemerah-merahan.
“Yaya tinggal dengan Puan Seow tu..,”Adira cuba memberi alasan untuk melepaskan diri daripada Shahir.
“Abang..demam..,”Shahir bersuara lemah.
“So?”
“Abang..nak..,”
“Abang nak apa?Pergi klinik tak mau,pergi hospital tak mau..”
“Abang nak milo..,”
“Pergilah bancuh sendiri!”(Eee!)
“Abang demam..,”
Shahir terketar-ketar.Lagaknya seperti terkena demam kura-kura.
“Demam saja,bukannya nak mati pun.Okaylah,saya nak balik dulu,”
“Nanti..abang rasa..abang nak..,”
“Nak apa lagi?Tak nak bancuh milo,bancuh sendiri!”Adira mula hilang kesabarannya.Dia penat.Penat badan.Penat melayan karenah Shahir.
“Abang rasa..abang nak...mun..bwekkk!”
Satu semburan cecair berwarna kehijauan keluar dari mulut Shahir.Cecair yang memenuhi baju Adira.Ada bau pekasam ikan puyu.
“Abang ni over tau!!!!!!”
(Benci!!!!Main muntah-muntah pulak!)
*****
Bukan perancangan Adira untuk berada di rumah Shahir pada saat dan masa ini.Paling menyampah dia terpaksa memakai kemeja kotak-kotak Shahir.Apa nak buat bajunya sudah dipenuhi muntah Shahir.Teruk betul!Macam muntah jembalang Badang pun ada,macam muntah hantu Exorcist pun ada.
“Sedapnya milo..minum milo anda jadi sihat dan kuat..,”Shahir yang masih berselimut di sofa tersengih sambil memegang mug.
Adira sekadar menjeling.(Demam buat cara demam,sihat dan kuat konon!).
Jauh di sudut hati Shahir,dia gembira kerana Adira masih menemaninya.Markah bonus!Walaupun Adira sering mengungkap rasa benci padanya tetapi Adira masih lagi berada di rumahnya.Menyalin pakaiannya.Malah,sudi pula membancuh milo untuknya.(Ate nye inilah orang kate..marah-marah sayang..:p..).
“Lepas muntah,abang rasa sihat sikit..terima kasih buat milo,”Shahir masih tersengih-sengih.Dia mengangkat-angkat mug berwarna pink yang tertera gambar Barbie dan Kent.Adira memandang sayu mug yang dipegang Shahir.
Ya,mug yang dibelinya ketika kecil dahulu di Taman Tema Genting.Mug yang hanya boleh dikongsikan dengan abang tiri kesayangannya ketika itu.Memori lama itu masih menebal di fikirannya walaupun dia masih kecil ketika itu.
“Hanya abang dan ayang yang boleh minum mug ni sebab ayang Barbie dan abang jadi Kent,”
Daripada Kent sehingga Spiderman.Daripada seorang abang tiri kepada suami.Itulah Shahir yang diimpikannya selama ini.Sejak dia berusia 9 tahun lagi.Perasaan yang semakin berbunga apabila dia berusia 17 tahun.
Bagaikan cerita dongeng,dia mengikut aliran cerita cintanya yang penuh fantasia dan romantika.Dilarikan semasa majlis pertunangannya bersama orang lain sehingga menikah di utara negeri Malaysia.Semuanya bagai cerita novel yang menggegar jiwa dan perasaan.
Hakikatnya?Pahit!Dia baru berusia 22 tahun dan dia sudah mempunyai seorang anak perempuan tunggal berusia 5 tahun!Ironiknya,dia seorang janda!(Tak guna punya Abang Shahir!)
Teman-temannya yang seusia dengannya masih lagi berpoya-poya dan dia terpaksa mematangkan dirinya untuk menjayakan hidupnya sebagai ibu tunggal.Paling menyakitkan hatinya,Shahir pula semakin tidak matang!Bekas suaminya itu sengal yang amat!
“Tok!Tok!Anybody home?”Shahir mengetuk meja kopi di hadapannya.Mengejutkan Adira daripada lamunannya.
Adira tidak menjawab pertanyaan Shahir.Dia meletakkan tangannya ke dahi Shahir.Shahir hanya terdiam melihat kelakuan aneh Adira.
“Abang demam panas ni,esok pergi klinik okay?Suruh Heliza bawa abang,”
“Abang tak nak,abang nak Dira bawa abang ke klinik..,”Shahir menjuih bibirnya.Persis anak kecil merajuk.
Wajah yang membuat Adira geram bercampur marah.
“Abang,macam ni lah.Sekarang,bukan soal abang dan Dira.Bukan soal Dira dan Iwan.Bukan juga soal abang dan Heliza.Sekarang,abang pun dah tahu Yaya anak abang.Saya tak mahu lagi ingatkan perkara yang lepas.Apa yang pasti,kita pandang ke hadapan.Abang bukan diri abang seorang lagi,abang seorang ayah.Ayah kepada Yaya..,”
Adira terdiam seketika.Suaranya tersekat di kerongkongnya.Menelan rasa sebak.
“Abang boleh jumpa Yaya.Yaya anak abang.Saya tak boleh putuskan ikatan tu.Abang lebih tua daripada saya,tolonglah..tolonglah jangan bermain-main lagi dengan perasaan.Tolonglah,berfikiran matang.Mustahil untuk saya dan abang kembali seperti dulu.”
Adira bangun lalu mengambil kunci keretanya.Shahir yang pada mulanya asyik tersengih-sengih sudah mula berubah riak wajah.Tampak serius.
“Saya dan abang pasti tak akan bersama lagi,”
“Dira pasti?”Shahir menyoal dengan sorotan yang tajam.Apatah lagi dengan matanya yang sudah merah saga kerana demam.Agak menakutkan.
“Ya,saya pasti,saya..,”
Belum sempat dia menghabiskan ayatnya,Shahir bangun menghampirinya.Begitu menghampiri wajahnya.Nafas panas Shahir berhembus di wajahnya.
“Dira..jangan menyesal,”
“Takkan..takkan..menyesal,”
Ada nada gementar di dalam hatinya apabila menjawab balas kenyataan tegas Shahir.Namun keputusannya nekad.Walaupun Adira sendiri tak pasti keputusan itu daripada akal atau kehendak hatinya.Atau apakah cuma keegoannya?
***
Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.Sudah lebih sejam dia sampai di rumahnya.Namun,Adira masih tidak mampu untuk melelapkan mata.
Yaya tidur nyenyak di sebelahnya.Kasihan anaknya,semasa dia mengambil Yaya dari Puan Seow,Yaya sudah terlelap.Dia terpaksa mengendong Yaya pulang.
Adira merenung wajah anak kecil itu.Sesekali dia mengusap rambut Yaya.Kemudian dia mencuit hidung mancung persis papanya itu.Memang hidung Shahir.
Atau tiada bezanya antara hidung mama atau papa?
Adira mendekatkan bibirnya ke kuping telinga Yaya.Berbisik perlahan.
“Papa Yaya sebenarnya baik..baik sangat.Sebab itu,masa kecil..dia tinggalkan mama untuk menjaga ibu kandungnya yang sakit.Dia juga hampir-hampir nak membiarkan mama bertunang dengan Uncle Daus sebab...atuk tak tahu papa dan mama saling mencintai,papa nak jaga hati atuk.Kalau mama kahwin dengan Uncle Daus,tentu mama tak dapat buah hati kesayangan mama ni,”
Adira terdiam apabila melihat Yaya mengeliat.Setelah pasti,Yaya tidak terjaga,dia menghampiri anaknya lagi.
“Sebab baik juga,dia kasihankan Auntie Heliza yang kematian suaminya.Sebab baik juga dia..dia mohon maaf..dan..nak kembali pada kita..,”
Adira memeluk Yaya.Hatinya sebak.Hanya puterinya yang mampu mengurangkan kehibaan dalam hatinya.
“Tapi..mama dah tolak papa.Sebab?Papa ada bodohnya.Dia pernah tak percayakan mama pada saat mama perlu sangat kepercayaan dia.Sekarang,dia nak mama percaya janji-janji dia lagi?Bodohkan kalau mama percaya janji-janji palsu papa?”
Dipandangnya Yaya yang sedang hanyut dibuai mimpi.Dikucup dahi Yaya bertalu-talu.Air matanya mengalir lagi.Yaya memang adunan wajahnya dan Shahir.Pada wajah Yaya tertera wajah Shahir.Bagaimana bisa dia melupakan Shahir sedangkan Shahir hidup dalam diri anak perempuannya?Adira bertambah sebak.Bibirnya mencebik.
“Atau mama akan salah kerana tidak mempercayai janji papa kali ini?”
***
Sejak semalam,fikirannya memang berkecamuk.Perbualan antara Heliza dan rakan kongsinya dari Bali itu langsung tidak menarik minatnya.Setelah lama dia menyiasat dan bertanya dari sumber-sumber yang dipercayai,dia tekad.
Cebisan kertas kecil yang mengandungi alamat ibunya digenggam erat.Doktor Farish tidak peduli.Sama ada diterima atau ditolak,dia akan bersemuka dengan ibunya.Dia tahu ibunya sudah mempunyai kehidupan baru,dia tidak berniat untuk mengganggu kehidupan baru ibunya.Dia Cuma ingin bertemu ibunya.Seperti robot,dia memandu tanpa henti dari Kuala Lumpur.
(Farish bukan samseng dari Henry Gurney.Farish kini sudah ada harga diri dan jawatan.Farish cuma ingin mengucup kaki ibu.Memohon maaf.Farish langsung tidak mempunyai niat untuk membunuh bapa.Farish tak tahu lelaki itu bapa Farish!Farish tidak pernah mempunyai kekuatan untuk bertemu ibu selama ini.Tetapi kini,mungkin masanya!)
Dia tergamam apabila melihat sebuah rumah besar ala binaan zaman Melaka di hadapannya.Dia tidak tahu seberapa pantas dia memandu sehinggakan begitu cepat dia tiba di Beruas,Perak.
Kelihatan senyap dan sunyi seperti tiada orang.Dia melihat jam di tangannya.Sudah menunjukkan jam 9 pagi.Dia memandang ke kiri dan ke kanan.Tiada orang.
Doktor Farish keluar dari keretanya.Ketika berdiri di hadapan pintu,dia ingin melaung salam memanggil tuan empunya rumah.Malangnya,suaranya tersekat di buah halkumnya.Ternyata dia masih punyai sifat gentar.
(Ya Allah,berilah aku kekuatan!)
Sebuah tingkap yang terbuka mencuri pandangan Doktor Farish.Perlahan-lahan dia menghampiri tingkap itu.Menjenguk-jenguk jika ada orang di dalamnya.Sebuah potret seorang wanita muda mengejutkan Doktor Farish.Matanya membulat seperti melihat hantu.
“Encik,”
“Hah!”
Seorang lelaki tua menghampiri Doktor Farish.
“Encik ni siapa?Datuk dan datin biasanya ke pasar pada waktu ni,”
“Sa..sa...sa..ya..saudara jauh..jauh..mereka..pakcik siapa?”Doktor Farish tergagap-gagap.Jantungnya berdegup kencang.
“Saya Pak Mat,tukang potong rumput.Seminggu sekali saya datang untuk potong rumput dekat halaman rumah datuk ni,”
“Pakcik..dah..lama kenal datuk..dan datin?”
“Lama tak lama,saya pernah kerja dengan Datuk Maulana masa di Rawang dulu.Saya pencen kat sini,datuk pun pencen kat sini juga,”
“Err..err..pak cik kenal gambar perempuan..tu?”Doktor Farish menunjukkan sekeping potret yang digantung pada dinding melalui tingkap.
Lelaki tua itu turut menjenguk ke dalam rumah.
“Oh,itu anak perempuan mereka.Khabarnya,anak datin dengan suami pertamanya.Saya dengar cerita,suaminya mati kena bunuh.Lepas suaminya meninggal,baru dia tahu dia sudah seminggu mengandung.Kenapa encik?”
Doktor Farish tidak menjawab.Dia tergesa-gesa kembali ke keretanya.Niat untuk bertemu ibunya terbantut.Tangannya menggigil ketika menghidupkan enjin.Air liurnya ditelan berkali-kali.Wajahnya kelihatan pucat lesi.Ditoreh pun tak berdarah.
(Ya Allah apa yang aku dah buat?Aku dah musnahkan hidup adik perempuan aku sendiri?Ya Allah,Adira..demi Allah,abang tak tahu abang ada adik perempuan!Apa yang aku dah buat?)
0 comments:
Post a Comment