Hujan renyai-renyai yang membasahi Hospital Besar Alor Setar mulai lebat.Seorang lelaki yang berusia lingkungan pertengahan 40-an kelihatan kemas berkemeja putih dan berseluar slack hitam.Wajahnya nampak tenang dan gayanya sederhana.Payung berwarna hitam yang digunakannya dipegang erat.Menghampiri bangunan bercat putih itu,lelaki itu menutup payungnya.Diletakkan di luar pintu.Ada titis-titis hujan di bahunya.Rambutnya yang sedikit basah,disapu ke belakang.Ketika dia melangkah masuk pekerja-pekerja di hospital itu memberi salam dan tunduk hormat.Atur langkahnya disusun menuju ke sebuah bilik.Menempuhi pelbagai jenis manusia yang merawat dan dirawat.
Sampai ke destinasi yang ingin ditujunya,senyuman manis terukir di bibirnya tatkala melihat sepasang uda dan dara saling bergurau mesra dengan jelingan tawa yang tak lekang kedengaran.Adira tersentak melihat kehadiran lelaki itu di hadapan mereka.Wajahnya mulai kemerah-merahan.Shahir hanya memandang terkebil-kebil.Ah,lelaki itu!Lelaki yang menyelamatkannya semasa di hentian Sungai Dua.
“Asssalammualaikum,mengganggu ke?”
“Waalaikumussalam,”Jawab keduanya serentak.Adira memandang ke arah Shahir.Suaranya seperti berbisik.“Pak Man..”
“Oh,Pak Man..”Shahir pantas tersenyum.Tangannya dihulurkan kepada lelaki yang bergelar Pak Man itu.“Tak de mengganggu pun dan terima kasih sebab Pak Man selamatkan saya,”
“Sama-sama.Kamu dah baik?”
“Alhamdulillah Pak Man.Eh,sila duduk.Jangan berdiri pulak,”
Kata-kata Shahir disambut dengan tindakan Adira mengambil kerusi untuk lelaki yang telah banyak berjasa kepada mereka.Ya,jika tiada Pak Man barangkali Shahir akan mengalami komplikasi yang lebih hebat.Mujurlah Pak Man segera menghulurkan bantuan.Pak Man duduk sambil wajahnya tenang memandang Shahir.
“Jadi?”Terpacul soalan mudah yang membikin kedua anak muda di hadapannya kaget.
“Jadi?Jadi apa Pak Man?”Shahir memandang dengan riak yang memohon pengertian.Pak Man menggeleng-gelengkan kepalanya sambil ketawa kecl.
“Pak Man tahu apa yang berlaku,Adira dah pun bagitau Pak Man.Jadi,apa yang Shahir nak lakukan sekarang?”
Shahir terdiam.Sesaat kemudian dipandangnya Adira yang tunduk membisu.Memeluk tubuhnya sendiri dan menyandar ke dinding.Bunyi kipas yang berpusing rasanya terlalu kuat kedengaran untuk situasi yang sepi begini.
“Kamu tak payahlah malu-malu dengan Pak Man.Anggaplah Pak Man pun macam bapa kamu juga.Apa tindakan kamu sekarang?”
“Kami..kami dah tekad..kami..nak kahwin,”Jawapan yang terpacul dari mulut Shahir mendapat reaksi yang agak terkejut dari Pak Man.Lelaki itu menarik nafasnya sebelum mengatur bicara.
“Kamu pasti?Kamu tak nak pulang kepada bapa dan emak kamu?”
“Saya..”Kata-kata Shahir terhenti seketika.Anak matanya memandang ke bawah.Gentar melihat wajah lelaki yang patut dia hormati.“Saya dah terlalu jauh melukakan hati mereka.Saya tak fikir mereka akan memaafkan saya.Saya akan kahwin dengan Adira cepat atau lambat.Saya harus bertanggungjawab atas tindakan saya dan...”
Shahir memandang Adira.Gadis itu memandangnya kembali.Seraut wajah yang manis itu menguntumkan senyuman.
“Saya tak mahu kehilangan dia lagi..”
Pak Man hanya tersenyum simpul memandang gelagat dua anak muda di hadapannya.(Macam-macam style anak-anak muda sekarang!)
“Shahir..”
“Ya,saya,”
Pak Man mengeluarkan sebuah telefon bimbit dari kocek kemejanya.Sebuah telefon bimbit biasa jenama Nokia 3310.Warnanya juga sudah pudar.
“Pak Man tinggalkan telefon ni,sebab Pak Man tahu kamu pun lari sehelai sepinggang.Telefon emak bapa kamu.Kalau betul kamu nak kahwin dengan Adira,pohon restu emak bapa kamu.Jangan belakangkan mereka.Semarah-marah mana pun mereka,mereka pasti akan maafkan kamu..cuma cepat atau lambat sahaja,”
Telefon bimbit itu diletakkan di atas tapak tangan Shahir.Tangan anak muda itu digenggamnya kuat-kuat.Digoncangnya.
“Apa-apa hal nanti,hubungi Pak Man,”Di berikannya secebis kertas yang tertera nombor telefonnya.“Pak Man akan tolong kamu,”
Shahir hanya memandang kehairanan ke arah lelaki asing di hadapannya.Ya,dia berasa aneh.Kenapa lelaki yang baru mereka kenali itu beriya-iya ingin membantunya dan Adira.Bantuan yang terlalu luarbiasa pula.
“Pak Man permisi dulu.Assalammualaikum,”Lelaki itu berjabat tangan dengan Shahir.Dipandangnya Adira sambil tersenyum.
“Waalaikumussalam..”Jawab Shahir perlahan sambil diikuti Adira.Kedua-duanya saling memandang.Tidak mengerti.Namun dari segi yang lain,mereka amat bersyukur dipertemukan dengan lelaki itu.Sekurang-kurangnya ada tempat untuk mereka mengadu.
Tanpa sepatah bicara lanjutan,Pak Man menyusun langkahnya keluar dari bilik itu.Seperti biasa ketika dia mencelah di antara orang ramai akan ada wajah-wajah yang memberi hormat kepadanya.Sampai di luar bangunan,seorang lelaki menghampirinya sambil membuka payung yang ditinggalkannya tadi.
“Kenapa Datuk tak bagitau saya Datuk hendak ke sini?”
Pertanyaan Pembantu Peribadinya tidak dijawab.Namun wajahnya masih manis seperti biasa.Lelaki muda itu memegang payung untuknya sambil megekori ke arah kereta.
“Saya dapat panggilan daripada Doktor Farish,”
Wajah yang manis tadi bertukar hambar.Ada riak kerisauan di wajahnya.
“Apa yang terjadi?”
“Situasi emosi anak Datuk semakin kritikal,”
Lelaki itu pantas memasuki kereta Mercedes berwarna hitam itu.Pembantu peribadinya di belakangnya tergopoh-gapah masuk ke dalam kereta lain mengekorinya.Kerutan dahinya semakin banyak kelihatan.Nafasnya ditarik dalam dan dilepaskan dengan segera.Seolah-olah melepas beban yang amat berat.Pemandu kereta yang setia bersamanya sejak kecil lagi,memandang melalui cermin pandang belakang.
“Datuk,jangan susah hati,”
Kata-kata pemandunya hanya disambut dengan senyuman yang tawar.
“Datuk jangan risau,InsyaAllah semuanya selamat,”
“Harapnya begitu la Pak Haji,”Dahinya dipicit.Runsing.
“Datuk betul-betul nak tolong budak-budak tu?”
“Ya,saya ikhlas nak bantu budak-budak tu,”Foto yang setia menemaninya ditenungnya sedalam-dalam.Ada air mata bergenang di kelopak matanya.Pak Man atau Datuk Noorman adalah orang yang sama.Sengaja dia memperkenalkan dirinya sebagai Pak Man kepada budak berdua yang baru dikenalinya.Takut pula mereka menjauhinya jika keduanya tahu status sebenar dirinya.Dia tahu siapa Datuk Maulana,tapi sekadar tahu nama dan bukan orangnya.Pada mulanya dia terkejut mendengar kisah pelarian adik-beradik tiri ini.Kemudian,dia tekad untuk membantu kedua-duanya.Yang pasti dia tak akan membiarkan Shahir dan Adira tidak bersatu seperti mana anak gadisnya.
Memandang wajah polos dan naif Adira mengingatkannya kepada anak gadisnya.Pertama kali melihat wajah Shahir pula?Bagaikan tak percaya tapi begitulah kekuasaan Tuhan.Sama tapi tak serupa.Dia mahu kebahagiaan dikembalikan kepada anak gadisnya tetapi sukar.Semoga masih ada sinar cahaya buat anak gadisnya.
Kereta Mercedez itu meluncur laju ke arah utara Thailand.
******
Daus melihat Tag Heuer di tangannya.Tepat menunjukkan jam 12 tengahari.Suasana di Starbucks Mid Valley itu seperti biasa dipenuhi road warriors dengan notebook masing-masing dan tak kurang juga dengan Iphone dan BlackBerry.Kebanyakannya pelajar dari kawasan sekitar terutamanya dari Universiti Malaya.Hendak diikutkan,dia tiada masa untuk berehat seketika di sini tetapi dia datang juga demi permintaan Farina.Kata-kata permintaan terakhir dibilangnya berkali-kali di corong telefon memohon Daus berjumpa dengannya.
“Dah lama tunggu?”
Farina tersenyum sambil meletakkan cermin mata hitam Marc Jacobs berwarna merah jambu di atas meja.Daus cuma menggeleng.
“Baru je.Kenapa you nak jumpa I?”
Farina melabuhkan punggungnya di atas kerusi.Berdehem membetulkan kerongkongnya sebelum memulakan bicara.Daus menanti jawapan daripada wanita itu dengan sabar.Matanya berkedip-kedip.
“I nak pulang ke Christchurch,”
“You nak give up?Mengaku kalah?”
“This is not a game,”Farina mengeluh perlahan.“I bukan anak gadis remaja lagi Daus,I need someone yang boleh jaga I dan paling penting cinta.Paling tertinggi sekali dalam senarai I,sayang anak I,”
“Ya,I tahu,”Daus melepaskan nafas lelahnya.Hatinya masih terluka dengan apa yang telah terjadi.Anehnya,dia tak tahu nak marahkan siapa.Shahir atau Adira?
Bodoh betul!Macam mana dia boleh terperangkap antara kasih sahabat baik dan cintanya terhadap gadis idaman.Dia berusaha mencari ke mana perginya mereka berdua.Maklumat terkini yang diterima kedua-duanya sudah berada di utara.Entah Perak,Pulau Pinang,Kedah atau Perlis..dia pun tak pasti.Datuk Maulana berkeras tidak mahu melaporkan kepada pihak polis.Secara logikanya,bukannya Adira di bawa lari pun tapi rela hati untuk lari bersama-sama Shahir.
“Daus,”
“Hem?”Daus seolah-olah tersedar daripada lamunan.
“I harap one day,you pun akan lepaskan Adira sepertimana I lepaskan Shahir,”
Kata-kata Farina bagaikan angin lalu yang memasuki telinga kanannya dan keluar melalui telinga kiri.Dia bukannya degil.Dia sudah berusaha untuk memadamkan seraut wajah yang ayu itu tetapi segalanya masih segar dalam ingatannya.
Pertama kali dia melihat Adira bersama Nad di Hotel Hilton,hatinya sudah tercuit.Kalau tidak,masakan dia sanggup meminta setiausahanya mencari maklumat Adira.Saat Adira jatuh pengsan di sekolah,adegan lumba basikal di Port Dickson dan kenangan Adira dan Bibah di ladang kudanya.Semuanya bermain di mindanya seperti filem yang diputarkan di pawagam.
Aku mahu membencimu.Tapi aku sudah berjanji untuk mencintaimu.Mana mungkin aku bisa melupakanmu sekelip mata.Salahkah aku mencintaimu?
Bunyi mesej daripada telefon bimbitnya membuatkannya tersentak.Matanya membulat ketika membaca mesej yang tertera.
“Daus,kenapa?”
Pertanyaan Farina tidak dijawabnya.Dia bingkas bangun meninggalkan wanita itu dengan seribu persoalan.Farina memandang Daus yang semakin jauh dari pandangan matanya.(Kenapa pulak?Apa yang berlaku?)
*****
“Kenapa daddy kejam sangat?”
Datuk Maulana hanya membatukan diri di sofa.Menghisap dan menghembus asap daripada paipnya.Datin Ainul mengeluh melihat sikap suaminya.Sakit hatinya.Air mata yang bergenang di kelopak matanya dikesatnya dengan tisu.Memang segalanya serba tak kena dalam kehidupan mereka sekarang.Sunyi dan sepi semenjak kehilangan Adira dan Shahir.Farina juga telah meminta izin untuk pulang semula ke Christchurch.Ya lah,kalau dia di tempat Farina pun dia akan mengambil tindakan yang sama.Lebih baik pulang ke New Zealand daripada menderita mengenangkan nasib cinta yang tak berkesampaian di Malaysia.
Lewat sore tadi,Datuk Maulana sendiri tidak menyangka akan mendapat panggilan daripada Shahir.Dia terperangkap antara perasaan kasih dan marah seorang bapa.Mendengar suara Shahir menyebabkan dia mendidih dan terharu pada masa yang sama.Suara itu masih terngiang-ngiang di telinganya.Jelas.
“Hello,”
“Assalammualaikum,daddy,”
(Ketika itu jantung daddy berdebar laju.Daddy rindukan suara itu.Namun,hati daddy juga remuk redam .Retak yang tidak akan bercantum lagi)
“Daddy?”
“Hem..”
“Daddy...daddy jangan marahkan..jangan marahkan Adira,”
“Hem..”
“Daddy..semuanya salah abang..abang..”Suara Shahir tersekat-sekat.Ada sedu sedan dalam nafasnya.“Abang yang salah..daddy ampunkan..ampunkan abang..daddy halalkan darah yang mengalir dan nafas yang abang hembus atas..atas nama daddy..”
“Apa yang kau nak?”
Shahir terdiam.(Daddy tahu saat ini abang pantas terkejut kerana belum pernah daddy menggunakan perkataan ‘kau’ terhadap abang..).
“Aku tanya,apa yang kau nak?”Suara Datuk Maulana mulai meninggi.Tangannya menggigil menahan marah.Kecewa dan sedih yang bercampur baur.
“Kami..kami akan kahwin,”Nada suara Shahir gagap dan menggeletar.Pada saat itu jantung Datuk Maulana bagaikan direntap.Apa maksudnya berkahwin?Sudahlah dia melarikan adik tirinya dan kini mahu berkahwin?Biadap.
“Hei,dengar sini!Kau bukan anak aku lagi dan aku tak peduli satu zarah pun apa yang bakal kau buat.Kalau kau rasa nak kahwin dengan adik tiri kau,kau buatlah!Kau nak lingkup,kau punya pasal!Aku haramkan nafas kau dekat dengan aku pun!”
Telefon bimbitnya dimatikan pada saat itu juga.
Mana bisa dia duga isterinya berdiri di belakangnya ketika itu.Hati ibu yang lembut dan mudah tersentuh sudah tentu tidak rela anaknya disumpah sedemikian.Walaupun sekadar anak tiri.
“Kenapa mulut daddy lancang sangat?Kalau apa-apa jadi pada budak-budak tu?Daddy yang akan menyesal,”Datin Ainul menekup wajahnya.Badannya terhenjut-henjut menahan tangisan.
Datuk Maulana masih membisu.Suratkhabar yang dibacanya diselak satu persatu tanpa memandang wajah isterinya.Hatinya seolah diperbuat daripada konkrit.
“Mummy akan pergi restui perkahwinan mereka..walaupun mereka kahwin merempat,mummy tetap akan pergi,”
Kata-kata Datin Ainul tidak dijawab suaminya.Tidak berkata ya ataupun tidak.Jauh sekali menggalakkan mahupun menegah.Pandangannya hanya terus memandang ke arah suratkhabar.
Mbak Seena yang terdiam di dapur selama ini,perlahan-lahan menghampiri Datin Ainul.Digosok bahu wanita itu persis memujuk.
“Usah khuatir Datin..maafin saya Datuk,saya rasa saya patut temanin Datin,”
“Daus pun,”
Kemunculan Daus di hadapan pintu langsung tidak diberi tindak balas oleh Datuk Maulana.Lelaki itu menghampiri Datin Ainul.Duduk melutut di hadapan wanita itu.
“Daus akan bawa auntie ke sana.Daus pun dah dapat tahu di mana mereka sekarang.Daus janji akan bawa auntie.Kebahagiaan Adira adalah kebahagiaan Daus juga,”
Daus tidak pasti apakah yang terucap di bibirnya adalah satu kejujuran.Yang pasti,dia tidak sabar untuk bertemu dengan Adira.Seandainya benar Shahir dan Adira akan berkahwin,biarlah dirinya yang menjadi saksi.
******
Suasana pagi di Masjid Zahir kelihatan tenang dan sesekali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.Ketenangan itu tercuit sedikit dengan pertemuan tragis antara Datin Ainul dan Adira dan Shahir di luar masjid.Seolahnya bagaikan pertemuan yang amat mustahil namun berjaya direalitikan.Peluk cium Datin Ainul bertalu-talu ke pipi Adira.Mbak Seena yang berada di sebelah Datin Ainul turut berasa sebak.Hilang sudah marahnya terhadap anak gadisnya dan Shahir.Yang ada cuma rasa rindu dan kasih sayang yang meluap-luap.
“Mummy..Dira..”Air mata Adira yang berlinangan menyukarkan pertuturannya.Air matanya bisa menghapuskan mekap pengantin yang menghiasi wajahnya.
“Mummy dah maafkan Dira..abang..mummy sayang kamu berdua,”
Kedua beranak yang pertama kali berjumpa semula itu berpelukan seolah-olah tidak mampu dipisahkan kembali.Daus yang turut berada di situ cuma mendiamkan diri.Terukir sedikit senyuman yang kelat.Shahir berundur setapak demi setapak ke belakang.Air matanya sudah tidak tertahan lagi.Bisa berhamburan keluar bila-bila masa sahaja.
Lidahnya tidak henti menyebut nama Maha Pencipta Allah SWT dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.Ada gentar dalam hatinya.Bukan gentar kerana setelah seminggu melarikan diri dia akan diijab kabul dengan Adira tetapi gerun memikirkan dosanya terhadap daddy.Walaupun mummy hadir merestui tetapi tidak kehadiran daddy menyentuh hatinya.
(Ya Allah..demi nama Mu,abang tak bermaksud nak melukai hati daddy)
Air mata jernih yang mengalir ke pipinya cepat-cepat dikesat dengan hujung baju melayunya.Dia tak terfikir untuk lari sehelai sepinggang dengan adik tirinya.Memang gila tetapi itulah yang berlaku apabila cinta membutai mata.Sepanjang seminggu ini hanya mummy yang menghubungi mereka.Mummy juga yang sedikit demi sedikit menghantar dokumen penting dan pakaian buat mereka.Semuanya melalui orang-orang Pak Man.
Shahir sendiri tak tahu latar belakang Pak Man,yang pasti lelaki ini walaupun kelihatan sederhana tetapi berpengaruh.Memang aneh,apabila lelaki ini bersungguh-sungguh mahu membantunya dan Adira.Namun wajahnya yang ikhlas mematikan keraguan Shahir terhadapnya.Mummy sudah berjanji untuk datang memberi restu kepada mereka.Adira akan diwalikan hakim kerana bapanya pun sudah tiada.Itu tidak menjadi masalah.Masalahnya tiada restu daripada daddy dan kenyataan ini memberi sejuta penyeksaan buat Shahir.Hatinya sebak.
“Shahir sedih?Kenapa nak?”Pak Man menepuk-nepuk belakangnya.Suaranya lembut.
“Saya rasa berdosa,Pak Man,”Shahir cuba menahan sendunya.Berkali-kali air matanya dikesat.
“Hati daddy Shahir mungkin terluka tapi dia tidak melarang mummy ke sini kan?Pak Man pasti dia merestui perkahwinan kamu cuma dia masih marahkan Shahir,”
Shahir menyapu-nyapu wajahnya.Hidungnya sudah kemerah-merahan kerana esak tangisnya. “Kenapa Pak Man bantu kami?”
“Panjang ceritanya,”Pak Man mengeluarkan sekeping kad daripada dompetnya.“Esok lusa jumpa Pak Man di sini,”
“Menara Jati Architechture..Bangkok?”
“Branch..buat masa ni Pak Man di Bangkok,”
“Kenapa?Kenapa Bangkok?Thailand?Kenapa tidak Malaysia?”
“Yang penting kamu datang,kamu nak tanggung anak orang makan apa?Kamu pun dah tak ada pekerjaan kan?”
Shahir mengangguk perlahan.Kasihan pula Pak Man melihat gelagat anak muda di hadapannya.Shahir melepaskan pandangannya ke arah Daus.Sahabat baiknya itu langsung tidak memandangnya apalagi menghulurkan salam kepadanya.Shahir pasrah.Barangkali jika dia di tempat Daus dia akan menghadiahkan sebiji penumbuk berbanding mendiamkan diri.Shahir berasa malu dengan dirinya sendiri.
“Apa lagi yang dimenungkan,jom masuk dalam masjid,”
Pak Man menepuk bahunya sekali lagi sambil masuk ke dalam masjid.Seiring dengan bakal pengantin baru yang memakai baju sedondon berwarna ungu,Imam yang merangkap Tok Kadi yang baru sampai turut masuk ke dalam masjid.Datin Ainul menggenggam erat tangan Adira.Daus menelan air liurnya berkali-kali.Dia mohon dirinya dikurniakan ketabahan untuk menyaksikan pernikahan ini.
Shahir duduk bersila di hadapan Tok Kadi.Hatinya sedikit berdebar-debar mendengar khutbah nikah.Di dengarnya dengan tenang walaupun jiwanya masih ada rasa gundah.Pak Man yang duduk di sebelahnya sesekali memegang bahunya.
Segala puji milik Allah, kami memuji, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya kami berlindung kepada Allah dari segala keburukan kami dan dari segenap kesalahan perbuatan kami. Barangsiapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka tak seorangpun yang dapat menyesatkannya. Barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka tak seorangpun yang memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahwa tiada Ilah yang patut diibadahi kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya.”
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu meninggal dunia melainkan dalam keadaan beragama Islam."(Ali Imran:102).
"Hai sekalian manusia bertakwalah kepada Robbimu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan darinya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah memperkembangbikkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya, kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya, Allah memperbaiki bagimu adalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapatkan kemenangan yang besar
“Amma ba’du.Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah Kitabullah petunjuk yang paling baik adalah petunjuk dari Muhammad saw, dan perkara yang paling buruk adalah perkara yang diada-adakan. Setiap sesuatu yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat dan setiap kesesatan di nerakalah tempatnya “
Tok Kadi mengakhiri khutbahnya dengan doa dan amin para saksi di dalam masjid.Pada saat tangannya digoncang Tok Kadi,Shahir tahu dia sudah memikul tanggungjawab yang besar di bahunya.Bukan bererti dia melupakan kesalahannya terhadap daddy tetapi ada satu perasaan lain menyelinap di dalam jiwanya.Perasaan seorang suami.
Selesai menyebut lafaz ‘aku terima nikahnya’ bererti dia sudah meletakkan Siti Adira di bawah lindungan hatinya.Kerana wanita dijadikan daripada tulang rusuk kiri lelaki yang dekat dengan hati untuk disayangi dan dibimbing.Bukan di kepala untuk dijunjung dan tidak juga di kaki untuk diperhambakan.
Para saksi yang menghadiri akad nikah itu mengaminkan mereka.Senyuman jelas terukir di wajah Datin Ainul walaupun hatinya sedikit kecewa tanpa restu Datuk Maulana.Alangkah indahnya,jika majlis sebegini berlangsung dengan serba sempurna.Namun dia redha dengan ketentuan-Nya.Daus cuba untuk tersenyum walaupun dia akui hatinya masih terluka,dia mengangkat ibu jarinya kepada Shahir dan Adira.
Bagi Shahir,dia berjanji setitis air mata isterinya menjadi lara di hatinya jika kerana berduka dan menjadi penawar di hatinya jika kerana bersuka.
0 comments:
Post a Comment