Dingin pagi Ahad itu mencengkam hingga ke tulang hitam rasanya.Hujan yang lebat sejak Subuh tadi sudah renyai-renyai saat jam melewati pukul 10 pagi.Suasana di Bukit Antarabangsa itu dipenuhi kabus nipis dan wap-wap air membasahi cermin keretanya.Iwan menggosok-gosok kedua telapak tangannya untuk memanaskan dirinya.Sweather Adidas yang dipakainya dizip sehingga ke leher.Menggeletar seluruh anggota tubuhnya.
(Errr..sejuk..lambatnya mak dan anak ni..trrrr..)
Penantian dalam kesejukan di halaman rumah Adira itu berakhir apabila kedua beranak itu keluar dari rumah.Yaya melompat-lompat girang sambil memeluk teddy bear berwarna hitam yang dihadiahkan Shahir.
“Morning Uncle Iwan,sejuk ye?”
Yaya tersengih-sengih sambil masuk ke dalam kereta.Iwan hanya memandang Yaya tanpa sebarang jawapan.(Lagi mau tanya,sabar je..haish!)
Adira tersenyum tawar ke arah Iwan sambil menghulurkan beg kecil berisi pakaiannya dan Yaya.Iwan membalas senyuman itu sambil memegang tangan Adira.
“I minta maaf pasal hari tu..I terlalu emosi,”
“Emm..tak pe..I faham.Kalau I tempat you pun,I akan rasa marah dan cemburu juga,”
“I marah dan cemburu sebab I sayang you.I ikhlas dengan you dan juga Yaya.Walaupun I agak sukar nak menjalin hubungan ayah dan anak dengan Yaya tapi I sayang Yaya macam anak I sendiri juga,You faham kan?”
“Ye,I faham.Terima kasih sebab sentiasa ada dengan I semasa ketiadaan Shahir,”
“Please..jangan sebut nama dia lagi..”
“Err..ada masalah sikit pasal tu..,”Adira tidak memandang mata Iwan.Dia menggaru-garu dagunya yang tak gatal.Cuba melindungi perasaan resah.
“Masalah apa?”Iwan kelihatan kaget.Membulatkan matanya.
“Yaya ada jemput..err..tapi I rasa dia pun tak mungkin ikut,”
“Jemput?Ikut?Siapa?”
Soalan bertalu-talu daripada Iwan dijawap dengan bunyi hon kereta Peugot yang berlampu baru di hadapan dan belakang.
“Assalammualaikum!Morning!Saya lambat ke?”
Shahir tersenyum lebar sambil melambai-lambaikan tangannya kea rah Adira dan Iwan.
Air muka Iwan segera berubah.Sukar baginya untuk tersenyum ceria.Adira hanya mengeluh kecil.Cuma Yaya yang terlompat kegembiraan di dalam kereta.
******
Daddy..daddy cool..daddy daddy cool..
Beriya betul Shahir dan Yaya berjoget di belakang kereta.Iwan berharap dia ada lagi sepasang tangan buat menekup telinganya sepanjang pemanduan ke Beruas.(Daddy cool,daddy cool..aku yang tak cool walaupun cuaca sejuk!)
“Iwan!”
Tercongok wajah Shahir di antara Iwan dan Adira sambil tersenyum nakal.
“Hem..kenapa?”(Tiba-tiba je ‘terjongos’ mamat ni!)
“Kau tak de masalah kan aku tumpang kereta kau?Kereta aku tu baru je repair kena pukul,tak sampai hati aku nak bawa dia jalan-jalan jauh hehe,”
“Dahsyat kau ye?Kau kena pukul,kereta kau pun kena pukul?”Sindir Iwan sambil mempamerkan senyuman ‘sakit hati’.
“Uik,biasalah hero mesti kena pukul.Tak percaya tanya heroin,kan Dira kan?”
Adira tidak menjawab sebaliknya hanya menjeling tajam.(Elok sangatlah tu dengan muka lebam-lebam tumpang kereta orang.Berani betul ye nak jumpa Daddy?Nanti perang besar you see,huh!)
“Oh hero ye?Ni hero bahagian kedua nak cakap,boleh tak kau diam-diam kat belakang sebelum aku tinggal kau tepi jalan?”
“Eeee Uncle Iwan ni,janganlah tinggalkan Uncle Shahir tepi jalan.Kesian Uncle Shahir,kan mama kan?Kan?Kan?”Sampuk Yaya sambil mencuit bahu Adira memohon sokongan.
“Kalau Yaya pun cakap banyak,Mama tinggalkan Yaya tepi jalan juga.Duduk elok-elok di belakang.Pakai safe belt,”
“Mama ni..marah Yaya pulak,”Yaya menjuihkan bibirnya sambil mengundur ke belakang.Dalam keadaan merajuk dia memakai tali pinggang keselamatan.Shahir mengeluh perlahan.Matanya menyorot tajam memandang Adira.
“Kenapa pulak Dira nak marahkan Yaya?”
“Hello,Yaya tu anak saya.Saya nak marah ke,nak sayang ke..abang peduli apa?”
“Ye la,kalau ye pun marahlah orang lain,”
“Nak marah siapa?”
“Marah abang,abang tengok Dira makin comel kalau marah..hehe..”Shahir tersengih-sengih menambah bara di hati Iwan.
Iwan lantas menekan brek mengejut dengan harapan Shahir terbabas ke depan cermin kereta.Biar terbenjol dahi bertelur lebam.
Dalam aksi perlahan(slow motion kalau ikut English education),Shahir bukannya terbabas ke hadapan tetapi terbabas ke sebelah kiri pula.Tertonggeng dan tersembam ke bawah kaki Adira.Dah macam filem Hindustan pula,macam anak minta restu emak pun ada.Main cium-cium kaki.
“Hoi!”Iwan menjerit sambil menarik Shahir ke belakang.Kereta itu diberhentikan di tepi jalan.
Adira segera keluar dari kereta sambil memeriksa Yaya di belakang.Mujurlah Yaya tidak ada apa-apa cuma kelihatan terkejut sambil memeluk anak patung beruang hitamnya.Wajah Adira jelas merah padam menahan malu kerana aksi cium kaki Shahir dan pada masa yang sama marahkan Iwan yang menekan brek tanpa sebab.
“Kau main cium-cium kaki,apahal?”Iwan mencekak kolar baju Shahir sambil menariknya keluar dari kereta.
“Bila masa aku cium?Kau yang brek macam nampak pontianak!Gila apa!Tertonggeng aku!”Shahir menolak badan Iwan sehingga terundur ke belakang.
“Ah,pontianak ke nang nak!Aku belasah juga kang!”Iwan menggenggam penumbuknya.
“Belasahlah kalau kau berani!”Jerit Shahir sambil bersedia untuk bertumbuk dengan kekasih jandanya itu.(Kau nak tengok aku buka silat gayung,gerak kilat,tomoi,silambam semua ada!)
“Diam!”Giliran Adira pula menjerit sambil mencekak pinggangnya.Shahir dan Iwan terus terdiam.(Alamak!)
Adira menghampiri Shahir dan menepuk dahi dudanya.
“Abang,duduk belakang dan pakai safe belt jangan terjenguk-jenguk lagi ke hadapan.Perangai terjenguk-jenguk tu Yaya je buat!Budak-budak memang suka jenguk ke depan.Masuk!”
Iwan tersengih-sengih melihat Shahir dimarahi Adira.
“You pun sama!”
Tanpa diduga Adira juga menepuk dahi Iwan.
“You brek mengejut kenapa?Bukannya ada apa pun!You tak fikir Yaya?You all nak bergaduh ke apa jangan depan Yaya!Bak sini kunci,I drive kereta.You masuk belakang pakai safe belt jugak!”
Shahir dan Iwan saling berpandangan.
(Kau punya pasal lah brek macam Tokyo Drift,bongok!)
(Kau la bangang,orang terbabas ke depan,kau tertonggeng ke kiri!)
“Tengok apa lagi?Masuk!Jadi orang dewasa dan duduk diam-diam kat belakang.Yaya meh duduk depan dengan mama,”
Semua mengikut arahan Adira dan keadaan menjadi senyap dan sepi sepanjang perjalan ke rumah Datuk Maulana.Tiada lagi kedengaran lagu ‘Daddy Cool’.
******
Shahir mengambil peluang memikirkan langkah seterusnya semasa terperangkap dengan Iwan di kerusi penumpang belakang kereta.Iwan hanya memandang ke arah tingkap.Malas melayan karenah Shahir.Sesekali kepalanya tersengguk-sengguk dan akhirnya kedengaran bunyi dengkuran.Yaya di hadapan juga sudah lama terlelap.Adira fokus memandu kereta.
Shahir akui ada gentar di dalam hatinya untuk berjumpa daddy dan mummy semula.Dia langsung tak bersedia,dengan muka yang lebam dan bengkak dibalun Daus dan secara rohani pun dia lemah.Semuanya dilakukan secara spontan dan mengikut gerak hati.Macam pagi ini,dia tak merancang pun untuk mengikut Adira dan Yaya.Selepas sembahyang Subuh,dia terkebil-kebil di meja makan menikmati sarapan pagi bersama Heliza dan Doktor Farish.Sebelum menghabiskan hirupan kopi terakhir,dia memberitahu mereka dia ingin berjumpa daddy dan mummy.
Mulanya Heliza ingin mengikutnya tetapi dia melarang.Biar dia dulu berjumpa daddy dan mummy secara individu.Kalau Heliza tahu Adira pun ada,sudah tentu dia tidak akan berada di dalam kereta Iwan pada saat ini.
Masalahnya apa yang perlu dilakukannya apabila berjumpa daddy dan mummy?Daddy terutamanya.Takkanlah dia nak menangis-nangis macam Shah Rukh Khan bertemu semula dengan Amitabh Bachan dalam Kabhi Kushie Kabhi Gham?Dramatik sangat.
“Dira..”
“Kenapa?”Adira sedikit terkejut.Tiba-tiba sahaja Shahir memecahkan kesepian di tengah-tengah dengkuran Iwan dan Yaya.
“Daddy marahkan abang lagi tak?”
“Gila tak marah?Daddy sekarang dah ada senapang.Tak mustahil daddy tembak kepala abang,”Adira tersenyum.Sengaja menggertak Shahir.
“Oh..ye ke?”Shahir kelihatan risau.Dia menyandar tubuhnya lemah dan meletakkan tangan ke atas dahinya.
Adira mengerling sepintas lalu melihat Shahir melalui cermin pandang belakang.Kasihan pula dia melihat Shahir susah hati.
“Kalau abang ikhlas dan jadi diri abang sendiri,takkanlah daddy nak tembak abang kan?”Adira tersenyum manis.Senyuman manis yang dipamerkan di cermin pandang belakang itu cukup untuk mengubat sedikit lara di hati Shahir.
“Dira..”
“Hem,”
“Abang minta maaf pasal tadi,abang tak patut bergaduh dengan Iwan.Selama 5 tahun ini,abang serius dan fokus dengan kerjaya.Tapi sekarang,abang jadi macam budak-budak balik.Membuat sesuatu tanpa berfikir,”
“Bukan abang memang sentiasa macam tu?Membuat sesuatu tanpa berfikir?”
“Okay.Abang terima saja apa kata Dira,”
“Jangankan abang,saya pun sama.Saya rasa saya sudah cukup matang sepanjang 5 tahun ini.Tapi rupanya,saya sukar bersikap matang apabila berhadapan dengan abang,”
“Ye ke?Abang dengar Dira ber’saya’ dengan abang pun,abang dah rasa Dira matang.Dira,abang rasa Dira cantik sangat dengan bertudung.Macam Rianti Cartwright dalam ‘Ayat-Ayat Cinta’..manis je,”
“Oh,yang pegang watak Aishah tu?Ye lah,yang izinkan suaminya berpoligami tu?Saya belum sampai tahap sudi menerima payung emas,”
“Ke situ pulak.Abang puji ikhlas,”
“See?Kita nak bergaduh lagi kan?”
Shahir tersenyum.Tidak menjawab pertanyaan Adira.(Kenapa kita nak bergaduh?Bersikap tidak matang apabila berhadapan dengan satu sama lain?Sebabnya satu,cinta.Cinta sentiasa menjadikan manusia bersikap bodoh.Terutamanya lelaki.Lelaki yang jatuh cinta sanggup melarikan anak orang,meninggalkan tunangannya sendirian di KL dan sanggup menaiki kereta kekasih jandanya.Akulah tu!)
“Abang ada cakap apa?”
“Eh,mana abang ada cakap,”
“Okay.,,saya rasa macam abang ada je,hem tak pe lah kalau abang tak cakap,”
Shahir memandang Adira dengan misteri.(Dia ni boleh baca fikiran orang ke?Huhu..)
“Kita dah sampai,”Adira menukar gear satu ketika memasuki halaman rumah yang dihiasi reban ayam serama dan kolam ikan air tawar.Ada sebuah pangkin buluh dengan sebatang pokok kelapa di sebelahnya.
Rumah rekaan ala Melaka dengan kayu jati dan meranti bagai mulut ikan jerung yang ternganga luas buat Shahir.
(Ya Allah,kau berikanlah kekuatan kepada hamba Mu yang sememangnya tidak maksum daripada dosa dan cela ini.Ampunkanlah dosaku dan berikanlah kekuatan bagiku untuk memohon keampunanan daddy dan mummy)
*****
“Daddy,kan bunyi kereta tu,Yaya dah sampai kot,”
“Iyelah..nanti kejap daddy tengok,”
Datuk Maulana yang asyik menelaah suratkhabar segera bangun menuju ke muka pintu.Memahami kesibukan si isteri yang menyiang ikan haruan untuk dibuat asam pedas dan puyu untuk dijadikan pekasam.Sejak bermaustatin di Perak,mereka berdua rasa senang dengan kehidupan yang sederhana dan aman sebegini.Bekerja sendiri tanpa bibik atau supir lebih menyihatkan badan dan menjadikan hati lebih gembira.Jauh daripada kesibukan kota,perniagaan dan politik.Sesekali kalau si cucu pulang,ambil saja ikan-ikan ternakan dari kolam air tawar atau buah-buahan dari kebun belakang rumah atau dusun di hujung bukit sana.Ulam-ulaman dan sayur-sayuran pun segar bugar dari kebun sendiri.Tak payah memamah yang terlebih kimia dan racun dari pasar.
Derapan langkah Datuk Maulana semakin menghampiri pintu.Di bukanya selak di bahagian atas pintu dan dipulas tombol bulat itu.Sebaik sahaja pintu terbuka,Datuk Maulana terkesima kerana melihat tetamu yang tidak diduga.Selain kehadiran Adira,Yaya dan Iwan yang sememangnya sudah ketahuan,pemuda bertubuh tegap di hadapannya ini memang di luar jangkaan.Wajah yang langsung tidak berubah kecuali dihiasi janggut nipis di dagu.
“Assalammualaikum...daddy..err...err..petang-petang ni ada kopok lekor?”
(Astaghfirullah al azim..bertuah punya anak)
******
Makan tengah hari itu sepatutnya enak,bukan hanya ada ikan haruan masak asam pedas dan pekasam ikan puyu kegemaran Yaya.Ada juga makanan kegemarannya,sambal sotong dan puding laici sebagai pencuci mulut.Ada petai empat papan,kacang botol dan ulam raja.Sayur campur dan sambal belacan pun ada.Memang sepatutnya meleleh air liur.Tapi semua yang ditelan Shahir bagai melekat di celah tekaknya.
Apa tidaknya,daddy sepatah perkataan pun tak terkeluar butir bicara dengannya kecuali ‘waalaikumussalam’.Daddy lebih melayan Iwan daripadanya.Siap memujuk Iwan untuk pulang lewat dan mummy akan menggoreng kuey tiaw kegemaran Iwan petang nanti.Shahir menjuih bibirnya.(Ini sudah lebih,daddy dah lupa ke aku anak dia?).
Mummy pula sekadar melemparkan senyuman.Agaknya masing-masing masih marahkan dirinya.Shahir cuba memujuk dirinya sendiri.(Sabar ajelah..)
“Atuk,nanti Yaya ada baca sajak tau kat tadika,”
“Iye,untuk apa?”
Datuk Maulana melayan karenah cucunya sambil menyuap puding laici ke mulut Yaya.
“Ada,Hari Keluarga.Uncle Shahir dan Uncle Iwan pun datang tau!”Yaya bercakap dengan mulut yang dipenuhi puding laici.
“Yaya,tercekik kang.Makan elok-elok,”Adira menggeleng-gelengkan kepalanya.
Shahir dan Iwan tersenyum sambil mengangguk ke arah Yaya.
Datuk Maulana bangun dari meja makan dan membasuh tangannya.Selepas mengelap tangannya dengan napkin dia memandang ke arah Iwan.
“Iwan,nanti tolong pakcik hantarkan durian ke rumah Haji Asmara.Katanya menantu dia mengidam tempoyak.Kamu ingat lagi rumahnya?”
“Rumah warna hijau yang saya temankan pakcik hantar keli bulan lepas?”
“Aha,kalau kamu ingat baguslah.Bawak kereta pakcik.Kang bau durian pulak kereta kamu,”
“Okay,pakcik,”Iwan mengangguk.Shahir mengeluh kecil.(Iwan,Iwan,Iwan..anak daddy ni halimunan ke?)
“Abang,”
Seisi rumah terkejut apabila mendengar nama yang disebut Datuk Maulana.Masing-masing saling berpandangan.
“Err..ye..daddy?”
“Ikut daddy pergi tembak tupai dekat ladang kelapa sawit Tokey Ah Chong hujung kampung sana.Kita naik motor je.Sambil tu kita boleh belajar peribahasa Melayu,sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.Tak gitu?”
Shahir hanya ternganga.(Ada senapang..ada tupai..ada pula jatuh ke tanah.Nak tembak tupai ke nak tembak aku?)
Adira memandang Shahir dengan rasa simpati.Tiba-tiba sahaja daddy mengajak Shahir menemaninya menembak tupai.Misteri betul.
“Aha,tupai!Yaya suka lagu ‘Anak Tupai’,atuk!”Yaya mengomel-ngomel sambil menyanyikan lagu ‘Anak Tupai’.Disulami dengan tarian ala kedek-kedek macam anak itik.
Entah kenapa Shahir tidak merasa aksi Yaya comel tapi mengerikan.(Huhu..siapa nak kena tembak ni?)
*****
Ladang kelapa sawit Tokey Ah Chong lebih kurang dua hektar.Suasana agak sunyi dan kelam walaupun jam menunjukkan pukul 3 petang.Ada bunyi guruh di langit menandakan hari hendak hujan.Nampaknya hujan di Kuala Lumpur sudah melarat sehingga ke Perak.
“Entah mana datangnya tupai-tupai ni,habis buah kelapa sawit ni nak di’kokak’nya.Kebulur agaknya,”
Shahir sekadar tersenyum sambil mengangguk-angguk.
“Kalau tupai rosakkan buah,kita tembak saja,betul tak abang?”
“Aha,betul..agaknya..”
“Tapi kalau orang rosakkan kehidupan orang lain?”
Belum sempat Shahir menjawab,selaras senapang patah sudah di acu ke dahinya.Sebelah mata Datuk Maulana dikecilkan untuk memberi fokus bindikan yang tepat ke kepala Shahir supaya pecah berderai otaknya.
“Daddy..”Peluh jantan membasahi tubuh Shahir.Biar betul daddy ingin menembak kepala anaknya sendiri.
“Sekali picu ini ditarik..maka,tamatlah riwayat seorang cucu Adam pada saat dan ketika ini,”Datuk Maulana tersenyum.
“Daddy..bawa bersabar..,”
“Kenapa ke sini?Kenapa ke Perak?Kenapa mengikut Ayang dan Yaya?Tahu kan Ayang akan berkahwin dengan Iwan?Abang yang tinggalkan dia kan?Bawak lari dia,kahwin dan ceraikan macam manusia yang tak bertamadun,betul kan?”Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Datuk Maulana.Macam bertih jagung.
“Daddy..,”
“Sekarang baru panggil nama daddy?Mana kamu 5 tahun yang lepas?Jawap,”
“Abang tahu,abang anak derhaka.Abang tak tahu bagaimana abang nak betulkan keadaan.Abang sayangkan daddy dan mummy.Kerana itu,akhirnya..kaki abang melangkah jua menemui daddy dan mummy walau apa saja kemungkinan.Diterima,ditolak..atau mungkin akhirnya sebegini,ditembak,”
Shahir terdiam seketika.Menarik nafasnya sebelum menyambung ayat-ayatnya.Air liurnya ditelan.
“Soal dia.Abang memang jenis lelaki yang suka mengubah fikiran dan mudah dipengaruhi fikiran.Tapi ke mana pun abang,abang sedar...abang masih sayangkan dia.Abang masih cintakan dia.Abang ada Heliza,tapi arah magnet hidup abang tetap tertarik ke arah dia.Heliza juga amat bererti kepada abang,tapi dia lebih memberi impak besar kepada abang,”
“Walaupun Farina atau Heliza,abang tetap tak boleh lupakan ayang kan?Walaupun Yaya bukan anak abang?”
“Yaya bukan anak abang?Jadi betullah..,”Shahir berasa lemah.Dia tidak peduli senapang yang diacu di dahinya.Dia terduduk di atas tanah dengan keluhan yang besar.Dia betul-betul yakin Yaya anaknya,rupa-rupanya?Hatinya sebak.
“Tengok!Eee budak ni,nasib baik tak ada peluru!Kalau tak,dah lama aku tembak!”Datuk Maulana mencampak senapangnya ke tanah lalu memukul kepala Shahir.
“Aduh!”(Tadi Adira mengetuk dahinya,sekarang daddy pula memukul kepalanya.Kali ketiga mahu juga benak 40 hari)
“Abang ni mudah sangat mengubah fikiran.Kalau dah yakin Yaya tu anak abang,kenapa nak makan kata-kata orang lain?”
“Abang keliru lah.Daus tak mengaku Yaya anaknya,tadi daddy cakap Yaya bukan anak abang.Dah la dulu di Bangkok,Doktor Farish cakap mungkin Daus bapa Yaya.Keliru!”
“Siapa?Doktor apa?”
“Farish.Doktor peribadi Heliza,”
“Siapa pun yang cakap.Adalah zalim untuk kita tidak mempercayai orang yang benar-benar mencintai kita,”
“Adira masih cintakan abang?”Wajah Shahir kembali bersinar-sinar.Seperti mendapat limpahan cahaya lampu ‘spotlight’ Stadium Putra Bukit Jalil.
“Itu yang daddy rasa.Pandangan dia ketika memandang Iwan tak sama dengan pandangannya memandang abang semasa di meja makan,pandangan sekadar suka dan pandangan dilamun cinta adalah berbeza,”
“Abang pun harap macam tu,penolakan Adira sebenarnya lebih menarik kami lebih dekat.Sayangnya,jika abang boleh kembali waktu 5 tahun yang lepas,abang tak akan mempercayai sesiapa pun kecuali Adira,”
“Kenapa abang tak panggil dia ayang lagi?”
“Abang takut.Lagipun abang pasti,dia tak akan benarkan abang memanggilnya dengan nama tu.Dia pun asyik ‘saya’ saja.Mungkin kalau abang panggil begitu lebih melukakan hatinya.Jadi,Yaya tu anak abang kan?”
“Jangan tanya soalan tu.Jangan khianat perasaan cinta abang kepada ayang.Kalau abang ikhlas,dia tetap ayang di hati abang,”
Shahir mengesat air mata yang membasahi pipinya.Tanpa dia duga buat sekian lamanya dia menangis lagi kerana Adira.Datuk Maulana memeluk anak lelaki kesayangannya dengan erat.Dia juga berasa hiba dan pilu.
“Daddy,maafkan..maafkan..abang..”Shahir mengucup tangan ayahnya bertalu-talu.Ada nada kesal yang amat berat ketika melafazkan kata-kata maaf itu.
“Daddy dah lama maafkan abang..malah daddy juga mendoakan abang dapat kembali kepada kami.Kami..daddy,mummy,Yaya..dan..Ayang..”Suara Datuk Maulana tersekat-sekat.Keegoan seorang ayah yang luntur kerana kasih anaknya.
“Okay..abang faham.Lain kali kalau nak kopok lekor,abang pergi Terengganu,”
“Kau jangan buat lawak.Pergi balik!”(Ceh!)
“Balik?”
“Abang ingat daddy betul-betul nak tembak tupai kat ladang kelapa sawit orang?Daddy ada hal dengan Tokey Ah Chong.Nanti daddy balik dengan dia.Nah,ambil kunci motor ni,”
“Buat apa?”
“Buat apa?Pergi luahkan perasaan abang yang sebenar kepada Ayang sementara Iwan terbabas ke rumah Haji Asmara,”
“Daddy plan ye?Terima kasih daddy,”Shahir mengucup pipi Datuk Maulana.Air matanya dikesatkan lagi sebelum kegirangan menuju ke arah motosikal Honda EX5 berwarna ungu itu.Datuk Maulana menggeleng-gelengkan kepalanya.
Di atas sana,mega semakin gelap dengan awan bergumpal-gumpal menahan titis hujan yang semakin memberat.
*****
Adira kelam kabut menyelamatkan pakaian di ampaian.Di dalam rumah Datin Ainul dan Yaya pula tergesa-gesa menutup jendela.Hujan yang semakin lebat menyebabkan Adira terpaksa berteduh di pangkin buluh di halaman rumah.Jemuran yang diambilnya tadi diletak di sebelahnya.Dia memeluk tubuhnya yang kedinginan.Suasana kelam kelihatan seperti malam sudah menjelma sedangkan hakikatnya masih petang.
Fikirannya melayang-layang memikirkan nasib Shahir di tangan daddy.Entah apalah yang berlaku di antara dua beranak itu.Dia mendoakan semoga tidak ada apa-apa kecelakaan atau musibah yang berlaku kepada Shahir.
Lamunannya terhenti apabila bunyi deruan enjin motosikal membingit di celah-celah bunyi derapan hujan membasahi bumi.Motosikal yang dinaiki Shahir itu berhenti di hadapannya.Shahir berdiri di luar pangkin sambil tersenyum.Membiarkan dirinya dibasahi hujan.
“Apa abang buat tengah-tengah hujan?Masuk sini,”
Arahan Adira tidak dipedulikan Shahir.Keadaan Shahir merisaukan Adira.Adira menyelubung dirinya dengan kain batik Datin Ainul.Dicapainya sehelai lagi kain batik mummy dan diselubungnya kepala Shahir.Mahu tak mahu dia menarik tangan Shahir.Lelaki itu masih tidak bergerak.
“Abang,Ya Allah,hujan ni.Daddy mana?”
“Daddy dengan Tokey Ah Chong,”
“Abang,basah kain batik mummy ni.Cepat masuk,”
“Dah lama..kita..tak..main..hujan,”Shahir tersengih walaupun menggeletar kesejukan.
“Abang kita bukan budak-budak lagi.Tengok dek Yaya buat malu je.See?Kain batik mummy pun dah basah kuyup.Jom..”
Adira cuba menarik Shahir lagi tetapi Shahir pula yang menariknya.Rapat.Getaran hatinya berdegup kencang.Cepat-cepat Adira mengundur ke belakang.
Shahir memandangnya dengan wajah yang sayu,polos dan penuh kasih sayang.Tangan Adira digenggam erat seolah-olah tidak mahu terpisah lagi.Situasi yang langsung tidak menyenangkan Adira.
“Abang sayang ayang..”
“Apa yang abang merepek?Ab..”
Adira tersentak apabila jari Shahir menyentuh lembut bibirnya.
“Abang nak cakap..abang sayang ayang.Abang janji,buat kesekian kalinya sebab abang pun tak ingat berapa kali abang sudah berjanji.Tapi kali ni abang betul-betul janji,”Tangan yang menyentuh bibirnya tadi diangkat seperti memberi angkat sumpah.
“Abang takkan peduli perempuan lain selain ayang.Kalau diorang nak sedih ke nak mati ke,abang lebih utamakan ayang.Abang tak akan percaya cakap sesiapa pun selepas ini.Abang cuma percaya ayang seorang.Abang tak akan sakiti hati ayang lagi.Bagilah abang peluang kedua.Demi keluarga kita.Demi Yaya..anak kita,”Shahir mengungkap kata-kata itu dengan penuh pengharapan.Air matanya mengalir namun tak dapat dibezakan dengan hujan yang membasahinya.
Guruh berbunyi serentak dengan halilintar membelah bumi.Masih lagi kepala diselubungi kain batik.Masih lagi basah kuyup disirami hujan.Shahir menanti jawapan Adira yang berdiri kaku dan membisu.
(Kan abang dah cakap abang janji..abang benar-benar berjanji..)
0 comments:
Post a Comment