Perjalanan hampir 6 jam ke utara dan tanpa arah tuju diteruskan oleh Shahir.Cuma sekali mereka berhenti di Tapah,Perak untuk menunaikan kewajipan pada Yang Esa.Mega sudah tidak kelihatan di ruang angkasa,jam di tangannya pula sudah menunjukkan pukul 7 malam.Cepat benar cuaca gelap pada malam itu.Lebuhraya yang panjang dan sunyi itu hanya menyaksikan pelarian mereka yang belum tentu arah destinasinya.
“Abang,apa yang kita buat salah kan?”Adira kelihatan runsing.Masih berbaju kurung yang sama pada majlis pertunangannya.Cuma mekap di wajahnya sudah tiada.Nafas kesal dilepaskan.
“Ya,”Jawab Shahir pendek.Wajahnya kelihatan lebih tenang berbanding saat dia menarik tangan Adira di tengah medan pertunangan tadi.
Tidak terfikir dek akal warasnya untuk melakukan perkara segila ini.Benarkah cinta itu buta?Atau manusia yang buta apabila terkena panahan cinta?Yang pasti dia tak dapat bayangkan bagaimana jadinya jika melepaskan Adira kepada Daus.Ya,daddy,mummy mahupun arwah mama tidak pernah mengajarnya untuk bersikap kurang manis dan membelakangkan keluarga.Malang baginya situasi dirinya dan Adira terlalu sulit untuk dia kekal dalam keadaan logika.
“Abang akan fikirkan apa yang patut kita lakukan bila kita dah sampai di tempat yang lebih selesa nanti,”Kereta Peugot itu memasuki hentian Sungai Muda.Tidak banyak kereta yang diparkir di situ,adalah dalam tiga buah kereta.Kawasannya pula gelap dan sunyi.Cuma ada tandas dan pondok berehat.
“Dira tak sempat nak ucap terima kasih,”
“Terima kasih?Sebab?”
“Tak tahulah..rasa pelik pun ada..tapi,rasa dihargai pun ada,”
“Iye?Abang harap daddy tak letak muka kita di hadapan suratkhabar esok pagi,”Shahir mengeluh perlahan.Jari jemarinya memicit dahinya sendiri.(Nak sangat bawa lari anak dara orang..ambik!).
“Apapun abang tetap hero di hati Dira,Spiderrman,”
“Hero?Spiderman?”Tiba-tiba terkeluar ketawa kecil dari mulut Shahir.(Dira..Dira..di sebalik rasa cinta yang mendalam itu masih ada keletah anak kecil!)
“Spiderman sebab Spiderman rendah diri dan terlalu cinta akan Mary Jane walaupun dia jarang mengaku dan meluang masa untuk Mary Jane”
“Jadi abang ni macam Spiderman lah ye?”
“Spiderman yang sanggup buat apa saja untuk Dira,”
“Dira,”Shahir bersuara lembut.Dipandangnya gadis di sebelahnya dengan perasaan yang jujur dan penuh dengan rasa sayang.
“Ye?”
“Abang sayang Dira,tulus daripada hati abang.Abang minta maaf untuk apa yang berlaku pada hari ini.Abang janji tak akan melukai hati Dira lagi,”
“Abang dah berjanji banyak kali dengan Dira dari tadi.Dira percaya abang,”
“Dengan ini,abang,”Shahir mengangkat tangan kanannya seperti istiadat mengangkat sumpah.“Akan menjadi Spiderman di hati Dira yang akan menjaga Dira seperti Spiderman menjaga Mary Jane.Betul,tak bohong,”
“Okay..okay..Dira pun sayang abang,”Jawab Adira sambil tersenyum malu.Mukanya kemerah-merahan ketika mengungkap ungkapan ‘sayang’.Masih menebal perasaan segannya.
“Kita asyik sayang menyayang macam lagu cerita Azura ni,bila nak keluar dari kereta ni?”
“Keluarlah,siapa yang larang?”Adira menjelir lidahnya.Nakal.
Shahir ketawa kecil sambil keluar dari kereta.Dia hampir melanggar seorang lelaki ketika membuka pintu kereta.
“Maaf encik,saya tak sengaja,”
Lelaki yang memakai jaket biru itu tersenyum sinis memandangnya.Dilihatnya Shahir dari atas ke bawah.Pandangan yang jelek.
“Kau kenapa bro,mata letak mana?”
“Sorry bang,saya dah minta maaf tadi kan?”
Lelaki tadi mengerling ke dalam kereta.Matanya memandang nakal ke arah Adira yang tercengang-cengang di dalam kereta.
“Abang tengok apa?”
“Aik,marah?Aku pun tak sengaja tengok girlfriend kau,ada masalah?”Lelaki tadi menolak Shahir sehingga terjatuh ke bawah.
Adira yang pada mulanya sekadar memerhati sudah keluar dari kereta dan menghampiri Shahir.Shahir bangun sambil menepuk-nepuk seluarnya yang melekat dengan kotoran tanah.
“Dira,masuk dalam,”Bisik Shahir perlahan.Belum sempat Adira bergerak seorang lelaki lain muncul di belakangnya.
“Nak ke mana cik adik?Lepak dengan kitaorang sudahlah,”Lelaki yang baru muncul dan berambut panjang paras bahu mencuit pipi Adira.Shahir pantas menarik Adira ke belakangnya.
“Relaks bro..kita boleh kawtim,nak apa?”Shahir bersuara lembut,masih cuba untuk berbincang.Adira hampir menangis di belakangnya.Menahan air mata yang bergenang di kelopak matanya.(Apahal pulak ni?)
“Eddy,dia tanya kita nak apa?”Lelaki yang dilanggar Shahir tadi bersuara.Lelaki yang bernama Eddy itu ketawa kecil sambil menghampiri Shahir dan Adira.
“Joe,kau nak apa?”
“Kereta Peugot,hebat ni.Aku nak kereta kau boleh brader?”Lelaki yang bernama Joe tadi menepuk-nepuk kereta Shahir sambil menepuk-nepuk kereta berwarna perak itu.
“Kau nak kereta?Aku tak nak kereta,”Eddy menggelengkan kepalanya.
“Kau tak nak kereta?Kau nak apa Joe?Aku excited ni!”Joe melompat-lompat seolah mempermainkan pasangan kekasih di hadapan mereka.Adira yang bersembunyi di belakang Shahir memegang erat lengan abang tirinya.Shahir cuma memerhati gelagat dua lelaki banjingan di hadapannya.Bersedia menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal berlaku.
“Aku?Aku?Kau tanya aku Joe?”
“Ye la bengong takkan aku tanya mamat suci ni pulak,”
“Aku?”Eddy menghampiri Shahir sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.Dipandangnya Adira dengan pandangan yang kotor.“Gua tak tahanlah tengok awek lu yang halus mulus ni.Kita kongsi boleh tak,bro?”
“Kurang ajar!”
Shahir menendang kakinya tepat di celah kelangkang Eddy.Eddy terus rebah dengan wajah yang terkemut-kemut seperti tidak cukup oksigen.Riak peritnya menunjuk azab yang amat sangat.Joe yang melihat keadaan sahabatnya terus memukul Shahir dari arah belakang.Hampir terjatuh Shahir dibuatnya.
Berpinar juga kepalanya dipukul curi.Geram yang amat Shahir melepaskan tumbukan sulung ke mata lelaki itu.Melekat buku limanya di mata hitam samseng jalanan itu.
“Dira cepat masuk,”Shahir menarik tangan Adira dan cepat-cepat menolak gadis itu masuk ke dalam kereta.Belum sempat dia menutup pintu ,Shahir berasa panik apabila terasa pedih dan ngilu di tepi pinggang kanannya.Dia bertambah kaget melihat sebilah pisau tertusuk di pinggang kanannya.Darah mula mengalir membasahi kemeja kotak berwarna biru yang dipakainya.Dia menoleh ke belakang dan dilihatnya lelaki yang bernama Eddy memandangnya dengan wayah yang pucat.
“Hoi!”Satu sergahan suara sayup-sayup kedengaran oleh Shahir.Samseng taik kucing dua orang tadi telah menghilangkan diri entah ke mana apabila mendengar sergahan itu.Shahir mula berasa pusing.Dia terus rebah dengan nafasnya yang mula lemah.Dalam samar-samar dia dapat melihat wajah Adira yang cemas dengan air mata yang tiada putusnya.Dia juga melihat wajah lelaki yang agak berusia di sebelah Adira dan cuba membantunya.
Darah semakin membuak.Wajahnya mula pucat dan lesi.Suara Adira semakin sayup kedengaran.Nafasnya naik dan turun.Lemah
******
Suasana di banglo mewah Datuk Maulana disirami cahaya lampu yang samar.Jam di dinding berbunyi 8 kali menandakan sudah pukul 8 malam.
“Sampai bila-bila saya akan tunggu Adira!”
Kata-kata tegas Daus memenuhi ruang tamu rumah Datuk Maulana.Daus tidak peduli jika keputusannya tidak dipersetujui ayahnya.Selepas kejadian yang mengaibkan petang tadi,angkara ego yang tinggi,ayahnya terus membawa diri dan memaksa rombongan meminang pulang tanpa mengambil kira kemaafan yang dipohon Datuk Maulana dan Datin Ainul.
“Saya tak peduli dengan ayah,uncle.Kalau Shahir boleh buat gila larikan Adira di hadapan orang ramai,saya pun boleh buat gila cari Adira sampai hujung dunia,”Daus bersuara lagi.Datuk Maulana berdiri kaku memandang ke luar tingkap.Datin Ainul cuba ditenangkan Farina.Tak putus-putus tangisannya sejak tadi.Terluka hati seorang ibu diperlakukan demikian oleh anak-anaknya.Kalaulah dia tahu Shahir dan Adira menyulam rasa cinta sudah pasti dia mempersetujui ikatan mereka berdua.Kenapa kedua-duanya tidak memberitahunya apa yang mereka pendam.Atau mungkin salahnya kerana tidak mampu menduga kemurungan Adira berpunca daripada Shahir?
“Daus,cuba you bawa bertenang dulu,”Ema yang setia bersamanya sejak petang tadi akhirnya bersuara.Drama betul apa yang berlaku pada hari ini.Memang tak terjangka dek akal.
Kasihan pula rasanya melihat apa yang berlaku kepada Daus.Itu baru majlis pertunangan,kalau majlis perkahwinan?Alamatnya ada pula yang lawan tembak-menembak nanti.Ema menggelengkan kepalanya.(Macam-macam hal!)
“Bagi I..I..I biarkan mereka dengan kebahagiaan mereka sendiri,”Farina memberanikan dirinya menyatakan keputusannya.Daus sekadar menjeling ke arah wanita itu.
“Jodoh dan pertemuan dah ditentukan Tuhan.Tiada siapa yang boleh halang kalau dah itu ketentuannya.I bukannya baik hati.Tapi I rasa sebesar mana pun cinta I pada dia,tak ada gunanya kalau dia tak cinta I balik.Mungkin salah I jugak,I dah tahu ayang sukakan Shahir..tapi I teruskan juga niat untuk bertunang dengan Shahir,”
“Farina,I pun tahu,”Daus membulatkan matanya.“I tahu apa yang ada di antara mereka.I rasa apa yang Dira rasa semasa Shahir tidak pedulikannya.I ada di sisi Dira semasa Shahir menolak perasaan dia.I nak bahagiakan Dira dan tiba-tiba..kawan baik I dan bakal tunang you tu datang buat huru-hara.Gila..”
Datin Ainul memicit-micit kepalanya.(Ya Allah..apa bala yang menimpa keluarga bahagia kami hari ini?).
Satu demi satu penjelasan Daus dan Farina bukannya menyenangkan hatinya.Menambahkan beban lagi ada.Bertuahnya budak dua orang ni,dah tahu hal yang sebenar bukannya nak diberitahu.Masing-masing cuba menyembunyikan antara satu sama lain dan akhirnya seperti bom jangka,apa yang berlaku hari ini bagaikan letupan yang tak terduga.
Paling kasihan tentulah suaminya.Datuk Maulana seorang politikus yang dihormati dan disegani.Entah apa tanggapan masyarakat kelak.Barangkali mereka dianggap tidak pandai menjaga akhlak anak-anak.Pilu hatinya melihat permohonan maaf suaminya tidak dipedulikan Tan Sri Ali.Itu belum termasuk suaminya terpaksa memohon jasa baik pihak akhbar hari ini untuk tidak melaporkan berita ini di dalam akhbar.Lelaki yang cekal itu terpaksa pula berhadapan dengan orang kampung.Bukan semuanya yang simpati,yang mencemuh pun ada.
“Hati uncle dah retak,”Datuk Maulana berbicara sambil masih memandang ke luar tingkap.“Uncle tak salahkan Dira,dia masih tak matang.Uncle cuma kesal akan Shahir.Uncle tak akan maafkan Shahir.Uncle tak akan benarkan dia memijak rumah ini lagi.Dia bukan anak uncle lagi.Apa yang jadi padanya nanti.Biarlah..”
Suara lelaki itu kelihatan tenang.Tetapi peperangan di dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu.Ada nada kecewa di sebalik suara tenang lelaki itu.Daus,Farina dan Ema cuma tertunduk bisu.Datin Ainul yang kehilangan kata-katanya cuma mampu mengesat air matanya.
*****
Matanya dibuka perlahan-lahan.Cahaya lampu kalimantang menyilau pandangan matanya.Pedih.Shahir cuba bergerak tetapi masih terasa ngilu di bahagian pinggangnya.Bau ubat yang menusuk-nusuk hidungnya begitu kuat.Cuba diluaskan matanya.(Rumah mayat?Takkanlah..hospital nih..).
Tangan kanannya cuba digerakkan.Berat.Gelabah juga Shahir,takkanlah kena tikam di pinggang,doktor boleh salah pertimbangan potong tangannya pula?Dialih pandangannya ke kanan.Senyuman manis terukir di bibirnya tatkala melihat Adira sedang tidur di atas tangan kanannya.Bajunya masih belum bertukar sejak petang tadi.Kasihan pula Shahir melihatnya.Tampak sangat gadis itu keletihan.
Hidungnya yang kemerah-merahan pastinya kerana tangisan yang tiada hentinya.Bukannya Shahir tak tahu,Adira kalau sudah menangis,susah benar air mata itu hendak berhenti.
Shahir menggunakan jari telunjuknya untuk mencuit hidung Adira.Tiada tindak balas.Dicuitnya sekali lagi.Dua kali berturut-turut.Adira menggosok-gosok hidungnya dan bangun terpinga-pinga.Shahir segera memejamkan matanya.
Adira memandang kanan dan kiri.Di hadapannya Shahir masih tidak sedarkan diri.(Siapa pula yang main hidung aku ni?Erk..takkanlah hospital ni berhantu?).
Shahir membuka matanya sebelah.Lucu pula dia melihat aksi gelabah Adira.Gadis itu memusing ke belakang mencari-cari siapa yang mengganggu tidurnya.Tangan Shahir pantas menarik rambut Adira dan cepat-cepat berpura-pura pengsan semula.
Adira memegang rambutnya.Ada riak ketakutan di wajahnya.(Hah,sudah!Dah main tarik-tarik rambut pula!).Cuak dia seketika.(Jangan-jangan ada sesuatu kat bawah katil?).
Dia memberanikan diri menjenguk ke bawah.Tangannya dipegang di hujung katil.Perlahan-lahan dia tunduk ke bawah.(Ya Allah,janganlah muncul pocong ke pontianak..mahu aku pengsan sekali dengan abang..).
Shahir tersenyum sambil membangunkan dirinya.Pinggangnya masih terasa sakit tetapi kenakalan buat masa ini memang tak dapat dibendung.Tangannya lantas memegang tangan Adira yang memegang hujung katilnya.
“Opocot!”
Jeritan Adira seiring dengan tangannya yang menampar apa sahaja di hadapannya.Nasib tak baik bagi Shahir apabila tamparan itu tepat-tepat terkena mata kanannnya.
“Aduhhhh..”Shahir menekup matanya.Mahu buta sebelah matanya dek tamparan Adira.
“Padan muka!Oh,abang yang kacau Dira ye?”Adira menunjal dahi Shahir perlahan.Jantungnya sendiri berdebar-debar.Dalam fikirannya memang spesies seram sahaja,tak pocong,pontianak,toyol,Ju On dan apa sahaja yang sewaktu dengannya.Mana mungkin diduganya Shahir yang sedang terkejung di atas katil cuba bermain-main dengannya.
“Tangan cepat naik betul!”Bebel Shahir.Tangannya masih menekup matanya.“Buta mata abang karang,”
“Alah,kesiannya..meh Dira tengok,”
“Merah mata abang..huhu,cepat tiup,”Shahir cuba bermanja.Tampak mengada-ngada.
“Meh sini Dira tiup,”
Adira meniup mata Shahir yang kemerah-merahan.
“Tiup dekat lagi boleh tak?”Shahir tersenyum nakal sambil mengenyitkan matanya.
“Penampar lagi mahu tak?”
“Tak..tak..garangnya..aduhh..”Shahir mengeluh kecil apabila jahitan di pinggangnya terasa ngilu.Kerutan di dahi Adira menunjukkan kerisauan yang amat ketara.
“Abang okay ke?”
“Sikit je..tu pun patut abang yang menang kalau malaun tu tak tikam curi.Siapa yang bawa kita ke sini?”
“Ada seorang pak cik,namanya Pak Man.Baik sangat,dia yang bawa abang dan Dira ke hospital.Nanti keluar hospital,abang jumpa dia,”
“Pak Man?”Shahir tertanya-tanya di dalam hatinya.Siapa lelaki yang baik hati dan menyelamatkannya itu?Dia masih ingat lagi wajah lelaki itu walaupun pandangan sudah samar akibat kehilangan darah yang banyak.
“Kesian abang..tak pasal-pasal jadi mangsa samseng tak guna tu,”Adira menuang air kosong ke dalam gelas dan menyuakan kepada Shahir.
“Abang kan Spiderman yang akan menyelamatkan Mary Jane,”Ujar Shahir seraya meminum air kosong yang diserah Adira.
“Terima kasih Abang Spiderman”Sindir Adira dalam nada gurauan.
Namun jauh di sudut hatinya.Kejadian Shahir ditikam itu benar-benar membuatkannya ketakutan.Dia takut akan kehilangan Shahir.Mujurlah semangat untuk hidup itu kuat dan keadaan Shahir juga stabil.Jika tidak,tak tahulah apa yang bakal terjadi kepadanya jika dia kehilangan Shahir.
“Tapi dulu abang umpama Kent untuk Barbie,”
“Alah,tu masa budak-budak,”
“Oh,sekarang tak budak-budak lagi?”
“Dira bukan budak kecil lagi la,”
“Betul Dira bukan budak-budak lagi?”
“Memanglah Dira bukan budak kecil lagi,”
“Kalau macam tu..jom,kita kahwin!”
Ungkapan Shahir menyebabkan Adira terdiam.Dia tak tahu sama ada Shahir serius atau bergurau.Dia memandang wajah jejaka itu dengan wajah yang keliru.
“Apa abang cakap tadi?”
“Jom,kita kahwin!”
“Ta..ta..pi..Adira nak ambil..S..P..M..”
Tergagap-gagap Adira dibuatnya.
“Ambillah..tapi,jom kita kahwin jugak!”
Adira masih terkebil-kebil.Shahir menarik nafasnya.Dipandangnya seraut wajah yang comel itu dengan pandangan yang penuh rasa cinta dan kasih sayang.
“Jom,kita kahwin..Adira,sudi tak jadi isteri abang?Temani abang pada masa yang suka dan duka?”
Adira masih lagu keliru tapi perlahan-lahan senyuman manis terukir di bibirnya.Seiring dengan wajahnya yang kemerah-merahan menahan segan dan air mata yang bergenang di kelopak mata.
Shahir membalas senyuman itu semula dengan anggukan kepalanya.Senyuman yang diukirkan khas untuk perempuan yang ingin disunting menjadi suri hidupnya.
Biarkan aku di sini untukmu
Aku hanya ingin menghibur malam ini
Malam yang pasti menyenangkan untukmu
Dan tentu untukku
Biarkan di sini aku bernyanyi
Hanya untukku dan untuk menghibur kamu
Dan aku yakin senyum mu tulus dan jujur
Hanya untuk ku
Perempuanku
Engkau cintaku
Tak mungkin bisa bila aku jauh dari mu
Bisa gila ku pasti sedih
Ku cinta engkau
Cinta pada perempuanku
Semakin lama semakin ku tahu
Maksud hati tak hanya mencintaimu
Ku ingin habiskan hidupku
Hanya untukmu
Perempuanku
Engkau cintaku
Tak mungkin bisa bila aku jauh dari mu
Bisa gila ku pasti sedih
Ku cinta engkau perempuanku
Perempuanku...
(Irwansyah,Perempuanku)
0 comments:
Post a Comment